اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ Memahami Mekanisme Prasangka dalam Diri Prasangka wujud dalam diri semasa proses membuat penilaian sebelum mengetahui fakta yang relevan tentang suatu objek atau individu. Ia juga dapat muncul dalam sikap yang tidak yang tidak masuk akal atau juga munculnya kecenderungan untuk menilai segala hal, bahkan yang sama sekali tidak berkaitan dengan kita. Prasangka dapat dibahagi kepada tiga peringkat iaitu prasangka kognitif, prasangka perasaan, dan prasangka diskriminasi. Prasangka kognitif bermaksud prasangka yang masih berada dalam fikiran kita. Hal ini merujuk kepada timbulnya penilaian tertentu terhadap orang lain berdasarkan informasi yang bersifat ‘limited’, ‘unlimited’, ‘valid’, atau ‘invalid’. Ini tidak termasuk pengaruh ‘bias’ dalam diri yang ada atau terpupuk kerana pengalaman tertentu. Prasangka fikiran lazimnya memberi kesan psikologi kepada fikiran seseorang yang akan mempengaruhi caranya berinteraksi dengan orang yang di sangka tersebut. Peringkat pertama inilah waktu yang terbaik untuk mengawal prasangka supaya tidak selamanya bersifat negatif (suudzon) kerana ia masih boleh diadun atau dibentuk menjadi prasangka positif (husnudzon). Prasangka perasaan pula bermaksud prasangka fikiran yang telah mempengaruhi perasaan. Pada peringkat ini, penilaian fikiran telahpun mempengaruhi sikap dan emosi contohnya, ‘generalising’, ‘characterising’, atau ‘labeling’ terhadap sikap yang tertentu pada individu. Penilaian inilah yang akan mempengaruhi perasaan kita ketika kita bertemu dengan individu tersebut. Sekiranya penilaian itu positif (husnudzon), maka prasangka itu bersifat positif, perasaan terhadap keadaan / individu itu juga positif sebaliknya, jika penilaian itu negatif (suudzon), maka prasangka itu bersifat negatif, dan perasaan terhadap keadaan / individu juga negatif. Manakala, prasangka diskriminasi wujud dalam tingkah laku penilai yang telah dipengaruhi fikiran dan emosinya ke arah positif (husnudzon) atau negatif (suudzon). Prasangka diskriminasi adalah prasangka yang sangat ‘impactful’ kerana ia boleh memberi kesan kepada individu, silaturrahim sesama islam, dan interaksi sosial seharian. Dari sinilah wujudnya julat diskriminasi yang luas sehingga diterjemahkan kepada beebrapa jenis antaranya:
Berdasarkan mekanisme prasangka ini, dapat difahami bahawa kewujudan diskriminasi ini bukanlah berpunca dari orang sekeliling akan tetapi, bertitik tolak dari fikiran kita sendiri. Justeru, munculnya perkara negatif dalam kelompok sosial masyarakat bukanlah semata-mata kerana buruknya orang lain akan tetapi kerana keburukan fikiran kita sendiri. Di sinilah kita belajar untuk insaf bahawa sebenarnya kita yang merosakkan sesama kita kerana kelemahan kita mengawal prasangka fikiran sendiri. Prasangka dunia moden Seperti yang kita tahu, objek prasangka tidak hanya individu tetapi termasuk berkumpulan. Prasangka terhadap suatu kumpulan atau kelompok disebut stereotaip. Apabila prasangka berlaku, stereotaip, diskriminasi, dan buli mungkin juga berlaku kerana, dalam kebanyakkan kes, prasangka adalah berdasarkan stereotaip. Stereotaip adalah anggapan awal yang dibina terhadap suatu kelompok atau kumpulan berdasarkan pengalaman atau ‘beliefs’. Masyarakat yang memiliki pandangan secara stereotaip ini seolah-olah mempunyai skema yang menjadi panduan dalam menilai seseorang individu atau kumpulan masyarakat yang lain. Hakikatnya, stereotaip ini sukar diubah melainkan individu itu mula melibatkan diri dan menjadi ahli dalam kumpulan individu lain yang mempunyai ciri seperti dikehendaki oleh stereotaip. Namun sebenarnya, tahukah kita bahawa prasangka dan stereotaip hanyalah dua contoh kesilapan mental yang disebabkan kecenderungan kita untuk mengkategorikan maklumat dengan pantas di dunia di sekeliling kita? Adakah kita sedar akan perkara ini? Menurut ahli psikologi Gordon Allport, prasangka dan stereotaip wujud sebagai sebahagian daripada pemikiran manusia biasa. Untuk memahami dunia di sekeliling kita, penting untuk menyusun maklumat ke dalam kategori mental . “Fikiran manusia mesti berfikir dengan bantuan kategori,” jelas Allport. “Sekali terbentuk, kategori adalah asas untuk penghakiman biasa. Kita tidak boleh mengelakkan proses ini.” Dengan kata lain, ia bermaksud bahawa kita bergantung pada keupayaan kita untuk meletakkan orang, idea, dan objek ke dalam kategori yang berbeza untuk menjadikan dunia lebih mudah dan mudah difahami. Stereotaip yang paling ketara ialah stereotaip jantina dan kaum. Contohnya, masyarakat mempunyai stereotaip bahawa wanita itu harus mempunyai ciri-ciri seperti sopan, lemah lembut, gemar menjahit dan ayu. Justeru, individu yang mempunyai ciri-ciri bertentangan dengan stereotaip sedia ada pula akan dikenali sebagai ‘subjenis’ atau ‘subtype’. Dari sudut agama pula, terlalu banyak ‘stereotyping of Muslims’ yang berlaku. Contohnya, Islam adalah agama yang ganas dan umat Islam dikenal pasti dengan keganasan, atau Islam menindas wanita dan memaksa mereka menjadi individu yang subversif (akur, tunduk, lemah), ataupun hijab merupakan sebuah penindasan untuk kaum wanita Islam. Allah SWT telah menyebut di dalam al Quran bahawa: Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah al Baqarah : 256) Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). (Surah an Nisaa’ : 19) Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. (Surah ar Rum : 21) Yang terbaik dikalangan kamu ialah yang terbaik akhlak terhadap isterinya. (Sunan at Tirmidzi) Orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan. (Surah an Nisaa’ : 32) Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. (Surah an Nisaa’ : 34) Justeru, di manakah logik Islam adalah agama yang ganas serta mengajarkan penganutnya untuk menjadi ganas? Dan dimanakah hak-hak wnita yang dinafikan? atau Dimanakah dalil islam menggalakan penindasan atas kaum wanita? Sedangkan, Islam hanyalah agama yang mengajar kepada kebaikan dan sarat dengan peringatan dari Allah SWT. Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" (Surah Fussilat : 33) Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya. (Surah al Hasyr : 23) #hentikanprasangkaburuk #hentikandiskriminasi #hentikanstereotaip To be continued… Edited by Beyond.Dunia Rujukan
0 Comments
Leave a Reply. |
Doa Menuntut Ilmu
|