السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 5 Kisah Tauladan Tentang Prasangka 1. Kisah Rasululah SAW dan Abu Hurairah RA Kisah ini dinukilkan berdasarkan HR Bukhari No. 6452. Abu Hurairah RA pernah menuturkan sebuah kisah yang menakjubkan tentang dirinya, ahli al Shuffah, dan Rasulullah. Abu Hurairah RA berkata, Demi Allah yang tak ada Tuhan kecuali Dia, aku pernah merangkak di atas tanah gegara menahan rasa lapar. Tak hanya itu, aku juga pernah menahan perutku dengan batu agar rasa laparku tidak terlalu. Hingga pada suatu waktu, aku sedang duduk di jalan tempat ahli al Shuffah keluar. Aku melihat Nabi Muhammad SAW keluar sambil tersenyum kepadaku. Mungkin Baginda SAW dapat meneka sesuatu yang tergambar dari wajahku dan yang terlintas di hatiku. Nabi Muhammad SAW memanggilku, “Abu Hir, ikutlah denganku!” Beliau meneruskan langkahnya dan aku mengikutinya dari belakang. Ketika Nabi Muhammad masuk ke dalam suatu tempat, aku pun meminta izin masuk juga. Kulihat di dalam tempat tersebut terdapat susu setempayan. “Dari mana susu ini?” tanyaku pada orang-orang di dalam tempat tersebut. “Diberi oleh si Fulan,” jawab mereka. Tiba-tiba Nabi Muhammad SAW memanggilku, “Abu Hir, pergilah ke tempat ahli al Shuffah dan panggil mereka ke sini!.” Aku segera menuruti perintah Rasulullah tetapi terlintas perasaan menolak di dalam hatiku. “Seolah-olah ini tidak adil. Bukankah aku yang lebih berhak mendapatkan sebahagian dari susu itu dengan keadaanku yang sangat kelaparan, walau hanya sekadar untuk memulihkan tenagaku yang telah hilang?” Setelah para ahli Shuffah datang, Nabi Muhammad memerintahkanku untuk memberikan susu itu kepada mereka. Dalam hatiku tertanya-tanya, “Apakah ada bahagian untukku sekiranya semua ahli al Shuffah meminumnya? Akan tetapi, aku harus akur atas segala yang diperintah oleh Allah dan Rasulullah SAW.” “Akhirnya, akupun mengambil tempayan yang berisi susu itu, lalu kuberikan pada salah satu dari ahli al Shuffah. Dia minum susu itu hingga kenyang, lalu mengembalikannya lagi padaku. Aku memberikan pula tempayan itu kepada orang seterusnya dan begitulah seterusnya, hingga seluruh ahli al Shuffah telah puas menikmati susu tersebut.” Tibalah pada giliran Nabi Muhammad SAW. Rasulullah SAW mengambil tempayan tersebut, meletakkannya di atas tangan beliau, dan memandangku dengan tersenyum, “Abu Hir, bakinya ialah untukku dan untukmu. Duduk dan minumlah!”. Akupun segera duduk dan meminumnya. Setelah selesai minum, Rasulullah SAW memerintahkanku untuk meminumnya lagi dan begitulah seterusnya, sehingga aku berkata, “Cukup wahai Rasulullah. Demi Zat yang mengutus engkau dengan Haq, tak ada tempat yang tersisa lagi di perutku untuk meminum susu itu.” Lalu Rasulullah SAW berkata, “Cuba aku lihat.” Abu Hurairah RA menyerahkan tempayan kepada Rasulullah SAW lalu Baginda memuji Allah serta mengagungkanNya dan meminum baki susu yang tinggal. Hadis ini mengajar hikmah tentang kesan negatif dari prasangka. Abu Hurairah RA mengira bahwa tindakan Nabi Muhammad tidak adil kerana mendahulukan ahli al-Shuffah sedangkan Abu Hurairah sendiri kelaparan. Padahal Abu Hurairah RA sebenarnya belum mengetahui maksud dan tujuan tindakan Rasulullah SAW sehinggalah pada akhirnya. Maha Benar lah Allah yang telah mengingatkan manusia agar berhati-hati dengan prasangka, kerana sebahagian prasangka itu mengandungi dosa. 2. Kisah Saidina Umar al Khattab dan Abdurrahman bin ‘Auf Ketika Saidina Umar al Khattab diangkat menjadi khalifah, beliau pernah dikatakan mengalami gangguan ingatan. Ini kerana ramai orang selalu melihat beliau menangis, kemudian tersenyum, dan tiba-tiba ketawa sendirian. Yang lebih menghairankan, tiada seorang pun yang telah membuat beliau bersedih mahupun tersenyum. Lalu, pada suatu hari, Abdurrahman bin ‘Auf datang mendekati Saidina Umar dan bertanya kerana merasa sangat tersinggung dengan tuduhan yang dilempar masyarakat terhadap Saidina Umar RA. Dia bertanya, “Wahai Amirul Mukminin, mengapa kadangkala engkau tertawa dan menangis sendirian setelah selesai mengerjakan solat?” Kemudian, Saidina Umar RA pun menjawab, “Sahabatku, semuanya terjadi kerana aku mengingat akan dosa-dosa yang pernah aku lakukan di masa lalu. Aku bertaubat untuk tidak mengulangi perbuatan terkutuk itu.” Saidina Umar RA menambah lagi, “Untuk engkau ketahui wahai Abdurrahman bin ‘Auf, penyebab aku menangis ketika selesai solat adalah kerana aku teringat kebiadapanku sebelum memeluk Islam. Aku pernah menguburkan anak perempuanku hidup-hidup. Aku tertawa pula kerana teringat kebodohanku. Aku pernah membuat patung dari tepung gandum dan kemudian aku sembah seperti menyembah Tuhan. Namun lucunya, ketika perutku lapar, aku makan Tuhan yang aku sembah itu.” Mendengarkan penjelasan tersebut, Abdurrahman bin ‘Auf berasa sangat lega kerana tidak turut sama berburuk sangka terhadap Saidina Umar RA seperti masyarakat lain. 3. Kisah Ulama Sufi Ibrahim bin Adham dan Pemabuk Suatu hari, Ibrahim bin Adham berjalan di tepi pantai. Tanpa sengaja, matanya melihat sepasang manusia berduaan dengan begitu mesranya. Terlintas di hati Sufi ini, bahawa sepasang kekasih itu sedang dimabuk cinta. Tidak hanya mabuk cinta, ternyata mereka berdua juga kelihatan seperti sedang mabuk. Di sekeliling mereka terdapat beberapa botol minuman berselerak termasuk bekas botol kosong yang baru selesai diminum. Ibrahim bin Adham terkesima dengan pemandangan yang dia lihat sambil menggeleng-gelengkan kepala. Dia terfikir bagaimana sepasang manusia tersebut sangat mudah bermaksiat seolah-olah tidak memiliki dosa. Tidak lama kemudian, di dalam jarak beberapa meter di hadapan mereka, air laut tiba-tiba bergelora dan ombak menghempas dengan sangat kuat ke tepi pantai sehingga menghanyutkan beberapa orang yang berdekatan. Terlihat beberapa orang berusaha berdiri, berenang, berlari ke arah daratan dan beberapa orang lelaki hampir dihanyutkan ombak. Dengan sepantas kilat, lelaki mabuk tadi terus berlari menuju ke arah lelaki-lelaki yang hanyut itu dan berusaha menarik mereka satu persatu. Ibrahim bin Adham yang melihat kejadian tersebut hanya tercengang dan berdiri kaku di tempatnya. Beliau merasa terkejut dengan kejadian yang terjadi begitu cepat di depan matanya ditambah juga beliau tidak pandai berenang. Akhirnya, lelaki mabuk tadi sempat menyelamatkan empat orang dari lima kelaki yang hampir hanyut. Kemudian dia kembali ke daratan, namun bukannya kembali ke perempuan yang ditinggalkan akan tetapi terus menuju ke arah Ibrahim bin Adham. Lelaki itupun berkata kepadanya, “Tadi, aku hanya sempat menyelamatkan empat nyawa, sementara engkau sepatutnya menyelamatkan satu lagi nyawa yang tidak sempat aku selamatkan.” Lelaki itu menambah lagi, “Wanita yang kau lihat di sebelahku itu adalah ibuku dan minuman yang kami minum itu hanyalah air biasa,” katanya memberikan penjelasan. Perkataan lelaki tersebut menggambarkan seolah-olah dia mampu membaca semua apa yang difikirkan oleh Ibrahim bin Adham terhadapnya. Kejadian itu telah memberi kesan yang sangat mendalam dalam hidup Ulama Sufi yang terkenal iaitu Ibrahim bin Adham hingga beliau wafat. Jika seorang Ulama Sufi yang mulia boleh terjebak dalam perangkap tersebut, lalu bagaimanakah dengan kita manusia akhir zaman? 4. Kisah Sultan Murad ar Rabi dan Jenazah Pelaku Maksiat Sepertinya kebiasaanya, Sultan Murad ar Rabi (Sultan Murad IV) (1623 – 1640) sangat suka menyamar ketika turun melihat keadaan rakyatnya. Dalam perjalanan ke sebuah perkampungan, di tengah-tengah jalan perbatasan kampung itu, beliau terlihat sekujur tubuh terbaring tidak bernyawa. Namun hairannya, tiada seorangpun yang lalu lalang ketika itu ingin menguruskannya. Kemudian Sultan bertanya kepada beberapa orang yang ada di sekitar itu dan mereka menjawab dengan sinis. “Biarkan saja. dia orang fasik, peminum arak, dan penzina!” “Tolonglah orang itu dengan atas nama umat Nabi Muhammad SAW dan hantarkan jenazah ini ke keluarganya sekarang!” ujar Sultan Murad ar Rabi. Jenazah tersebutpun dibawa ke rumahnya dan isterin yang sedang menunggu di rumah menyambut jenazah suaminya dengan tangisan kerana sedih tidak ada seorangpun yang menguruskannya. Kesemuapun pergi meninggalkan jenazah kecuali Sultan dan pembantunya. Isteri lelaki tersebut bertanya kepada keduanya, “Mengapa kalian tidak ikut serta meninggalkan kami seperti orang-orang itu, wahai wali Allah?” Sultan Murad ar Rabi terkejut dan hairan ketika dia disebut sebagai wali Allah lantas bertanya lagi, “Bagaimana engkau boleh mengatakan kami wali Allah padahal orang-orang di luar sana menganggap buruk dan jelek pada jenazah suamimu ini?” Kemudian, isterinya pun menceritakan semuanya dari awal kepada Sultan Murad dan pembantunya perihal tabiat suaminya. “Tidakkah engkau takut wahai suamiku, jika engkau terus melakukan amalanmu ini maka suatu saat engkau meninggal di tengah jalan dan saat itu juga tak ada satu orang pun yang peduli mengurus jenazahmu apalagi mensolatkanmu?” Namun, suamiku berkata padaku, “Wahai isteriku, Allah SWT Maha Kuasa atas segala ciptaan-Nya. Janganlah engkau bimbang jika itu akan terjadi, yang akan mengurus jenazahku nanti adalah wali Allah dan penguasa di negeri ini. Bahkan para ulamanya pun yang akan mensolatkanku.” Wanita itu berkata lagi, “Suamiku memiliki kebiasaan membeli botol-botol minuman arak, lalu dibawanya pulang, dan kemudiannya dipecahkan dan dibuang minuman tersebut tanpa dia meminumnya walau sedikit.” “Suamiku juga pergi kepada para pelacur dan meminta mereka untuk tidak membukakan pintu bagi umat Nabi Muhammad SAW kerana dosa penzina termasuk dosa besar. Lalu, dia memberikan wang kepada para pelacur sebagai ganti rugi. Kemudian, dia akan kembali ke rumah dan berkata, ‘Alhamdulillah, semoga dengan itu aku dapat meringankan keburukannya (pelacur) dari pemuda-pemuda Muslim pada malam ini.’ “ Setelah mendengar cerita tersebut, Sultan Murad ar Rabi lalu menangis dan berkata, “Suamimu benar. Demi Allah, aku adalah Sultan di negeri ini. Esok hari, akan aku perintahkan para ulama di negeri ini untuk mensolatkan suamimu itu.” Hikmah yang dapat dipetik melalui kisah ini ialah, sebagai seorang muslim, sepatutnya kita tidak liar dalam memprasangkakan orang lain yang tidak kita tahu tentang dirinya atau hidupnya atau ibadahnya. Lebih baik kita sibuk kepada diri kita sendiri, hitunglah dosa sendiri, dan tangisilah keburukan diri sendiri. 5. Kisah Ulama Sufi (Tasawuf) Junaid al Baghdadi dan Pengemis Pada suatu hari, ketika Junaid al Baghdadi sedang asyik mengaji, dia didatangi oleh seorang pengemis lelaki. Pengemis itu berpakaian compang camping sambil menadahkan tangannya meminta sedekah. Junaid menatap pengemis itu sambil berpikir "Lelaki ini masih muda, badannya sihat dan kelihatannya mampu bekerja, tapi mengapakah dia mengemis (menimpakan kehinaan kepada dirinya sendiri)?" Junaid hanya melihat pengemis yang keletihan menadah tangannya lalu akhirnya pengemis itupun pergi. Pada malam tersebut, Junaid telah bermimpi. Di dalam mimpinya, dia melihat makanan di atas talam yang tertutup dan makanan itu dihidangkan kepadanya. Dia pun mengikuti perintah itu dan membukanya. Setelah membukanya, dia melihat lelaki pengemis yang datang kepadanya itu terbaring mati di atas talam hidangan itu. "Aku tidak akan memakan daging manusia," kata Junaid. Kemudian terdengar suara "Tetapi, mengapakah engkau berfikir macam-macam di masjid siang tadi?" Barulah Junaid tersedar bahawa dirinya telah bersalah dan berdosa besar kerana sudah berprasangka buruk terhadap pengemis siang tadi. Dia terbangun dari tidurnya kerana ketakutan. Lantas beliau bersuci dan menunaikan solat dua rakaat dan bertaubat kepada Allah SWT. Keesokan harinya, Junaid mencari pengemis tersebut dan ternyata pengemis itu sedang berada di tepi sungai Tigris sambil memungut sisa-sisa sayuran yang dicuci orang. Sambil mengangkat kepalanya, dia menatap Junaid dan berkata "Junaid, apakah engkau telah bertaubat kepada Allah kerana prasangkamu terhadapku?". "Sudah," jawab Junaid. "Kalau begitu, pergilah. Dialah yang menerima taubat hambaNya, sekarang jagalah pikiranmu," kata pengemis tersebut. Kesemua kisah-kisah ini mengajak kita untuk sentiasa husnudzon sesama manusia dan juga mengisyratkan bahawa tiada manusia yang terlepas dari prasangka sekalipun orang yang sehebat para ulama. Namun, yang terbaik antara kita adalah yang berbuat dosa dan kemudiannya bertaubat. Semoga kita dapat mengambil iktibar dan tidak terperangkap dalam ruang fikiran yang negatif. Aamiin. Rujukan:
0 Comments
Leave a Reply. |
Doa Menuntut Ilmu
|