السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 1. DALIL TAARUF (UNTUK MENCARI PASANGAN) DALAM ISLAM Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). 2. METODOLOGI TAARUF HINGGA NIKAH DALAM ISLAM Taaruf umumnya dilakukan sebelum khitbah. Khitbah di dalam Islam dikenali sebagai meminang atau lamaran, iaitu menawarkan diri untuk menikah. Dalam syariah, istilah bertunang tidak digunapakai kerana bertunang merupakan istilah adat. Sebaiknya, bentuk yang terdekat dengan syariah Islam ialah khitbah. Khitbah memerlukan kepada jawapan ya atau tidak. Sekiranya yang dikhitbah itu menjawab ‘ya’, maka wanita tersebut digelar ‘makthubah’ iaitu wanita yang telah rasmi dilamar. Dalam Islam, wanita yang telah dikhitbah, tidak boleh di khitbah lelaki lain ataupun menerima lamaran orang lain. Terdapat pelbagai perkara yang betul dititikberatkan sepanjang proses ini dan pastinya kita memerlukan kepada langkah-langkah ‘taaruf to nikah’ yang tepat dan seiring dengan syarak. Ini sangat penting untuk menjaga diri kita daripada terjerumus kepada maksiat sebelum nikah selain mendidik kita untuk bertawakal dan redha dengan segala ketentuan Illahi. a. Persiapkan diri dengan Ilmu Memetik kata Imam al-Ghazali, “Ilmu tanpa amal adalah gila dan pada masa yang sama, amalan tanpa ilmu merupakan suatu amalan yang tidak akan berlaku dan sia-sia” menunjukkan betapa pentingnya untuk kita memahami sesuatu perkara sebelum memulakan/mengamalkannya. Dalam konteks ini, taaruf harus difahami sebagai sebuah proses untuk mengenali antara lelaki dan perempuan menuju pernikahan. Oleh kerana niat keduanya ingin bernikah, maka wajib untuk membekalkan diri dengan ilmu yang cukup tentang hak dan kewajipan sepasang suami isteri, cara-cara mendidik anak, aurat dan pergaulan dengan ahli keluarga, dan sebagainya. Secara asasnya, kita juga harus memahami konsep dan sempadan dalam proses taaruf, khitbah, dan nikah. Ketika proses taaruf, kita dan calon masih mempunyai masa untuk berfikir semula dengan beristikharah kepada Allah tentang urusan taaruf tersebut, disamping meminta nasihat daripada orang tua untuk hal-hal yang berkaitan, dan berdoa sepenuh hati kepada Allah berharap yang terbaik. Sekiranya kita ingin mengundur diri, maka lakukan dengan cara yang terhormat bukan secara biadap. Jangan lupa, setiap orang ada hati dan maruah yang perlu dijaga bukan hanya hati kita. Berbeza pula dengan proses khitbah iaitu pembuka jalan menuju pernikahan. Khitbah menandakan kedua-dua pihak telah memutuskan untuk bernikah dan sudah saling menerima maka, sangat digalakkan untuk menyegerakan urusan pernikahan. Justeru mengapa Islam menasihati kita untuk menyegerakan nikah??? Jawapannya mudah, ini kerana, setelah dikhitbah, hati seseorang akan sangat mudah diisi dengan benih-benih cinta yang dikhuatiri akan membuat kita dan bakal pasangan terjerumus ke dalam dosa zina. Tidak hanya itu, tipu daya syaitan juga berpotensi menggagalkan pernikahan. Maka sebaiknya, segerakanlah menikah sekiranya sudah saling menerima. b. Niat, Meluruskan niat Kita bertaaruf dengan serius kerana ada itikad baik, iaitu ingin menikah. Bukanlah dengan niat seperti ingin mempermainkan orang lain atau dalam istilah moden ‘try’, ataupun kerana berkeinginan mempunyai teman lelaki/wanita di dalam hidup seperti orang lain. Kalian tidak akan beriman sampai kalian menyukai sikap baik untuk saudaranya, sebagaimana dia ingin disikapi baik yang sama. c. Saling Tukar Biodata/Maklumat Diri Ketika taaruf, masing-masing perlu saling menceritakan tentang diri secara bertulis (atau terpulang kepada kaedah teknologi semasa) dan tidak digalakkan bertemu untuk saling bercerita. Tulisan sahaja sudah memadai untuk mewakili lisan. Dalam peringkat ini, tidak semua perihal diri harus diceritakan, memadailah dengan perkara-perkara yang berkaitan untuk pembangunan sebuah keluarga seperti agamanya, pekerjaannya, sifatnya, hobinya, dan keadaan kesihatannya. Sekiranya kita inginkan maklumat tambahan, sebaiknya dirujuk melalui pihak ketiga seperti adik beradik, sepupu, ibu bapa, atau kawan-kawannya. Disinilah kita melihat cantiknya Islam. Itulah cara yang betul melakukan taaruf, iaitu dengan adanya perantara untuk membantu mencari maklumat tambahan mengenai pasangan. Cara taaruf yang dilakukan tanpa perantara akan jauh dari kebersihan hati kerana taaruf berdua boleh mengundang pelbagai keburukan. Justeru, dengan adanya perantara maka dia akan membantu mempertegas proses taaruf yang betul. Tugas perantara bukanlah setakat untuk memperkenalkan calon, memaklumkan perihal calon/biodata, ataupun menyuarakan hasrat menolak/meneruskan taaruf. Akan tetapi, perantara sepatutnya membantu memberikan batas waktu kepada pasangan taaruf, seperti deadline taaruf, memelihara cara taaruf yang betul, dan menasihati masa yang sesuai bertemu orang tua, khitbah, dan seterusnya bernikah. Semuanya akan menjadi jelas dan tidak berlama-lama. Ini sangat berbeza dengan cara taaruf yang dilakukan berdua saja yang melazimi ‘take it easy’ dalam menentukan deadline sehingga boleh mengundang/terjadi maksiat. d. Solat Istikharah Setelah mengetahui biodata calon pasangan, dianjurkan untuk melakukan solat Istikarah untuk mendapatkan jawapan terbaik dari Allah SWT. Istikharah dilakukan untuk memantapkan usaha kemanusiaan tentang perkara diluar pengetahuan kita. Dan Tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilihnya. Sekali-sekali tidak ada pilihan bagi mereka (apabila Allah telah menentukan). Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan. Dan Tuhanmu mengetahui apa yang disembunyikan dalam dada mereka dan apa yang mereka nyatakan. Dan Dialah Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, bagiNyalah segala puji di dunia dan di akhirat, dan bagiNyalah segala penentuan dan hanya kepadaNyalah kami dikembalikan. Perlu diingatkan juga bahawa istikharah dilakukan bukan untuk memilih perkara ketaatan ATAU maksiat, halal ATAU haram, afdhal ATAU kurang afdhal namun sebenarnya untuk memilih dua perkara yang sukar dipilih kerana SAMA kedudukan dan kebaikannya. Haruslah difahami bahawa, TIADA batasan dalam melakukan solat istikharah. Tiada masalah sekiranya kita berterusan menunaikan solat istikharah dua rakaat sepanjang proses taaruf hingga nikah, atau sehingga kita mendapatkan jawapan atas pertanyaan tersebut. Walhal sebenarnya, semakin BANYAK istikharah dilakukan, semakinlah bagus. Setelah beristikharah, janganlah bimbang, kerana Allah SWT akan memberikan taufiq dan hidayah kepada orang yang telah melakukan istikharah untuk melaksanakannya/menyempurnakan urusannya dengan sebaik mungkin. Tidak akan kecewa orang yang istikharah, tidak akan menyesal orang yang bermusyawarah (meminta nasihat), dan tidak akan melarat orang yang hidup sederhana. e. Bertemu Orang Tua Ketika seorang lelaki tertarik kepada seorang perempuan dan telah berhasrat untuk bertaaruf, maka dianjurkan untuk berjumpa kedua orang tua perempuan tersebut dan MENGATAKAN niatnya dengan TULUS untuk serius. Dari Abu Hurairah RA berkata: “Saya pernah di tempat kediaman Nabi, kemudian tiba-tiba ada seorang laki-laki datang memberitahu, bahawa dia akan kahwin dengan seorang perempuan dari Anshar, maka Nabi SAW bertanya: ‘Sudahkah kau lihat dia?’ Ia mengatakan: ‘Belum!’ Kemudian Nabi mengatakan: ‘Pergilah dan lihatlah dia, karena dalam mata orang-orang Anshar itu ada sesuatu’.” Rasulullah SAW juga bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu hendak meminang seorang perempuan, kemudian dia dapat melihat sebahagian apa yang kiranya dapat menarik untuk mengawininya, maka kerjakanlah” f. Tanggungjawab Ketika Taaruf
Rasulullah SAW mengingatkan: “Jangan sampai kalian berdua-duaan dengan seorang wanita (yang bukan mahramnya), keran syaitan adalah orang ketiganya” Sebaiknya, jika kedua-duanya ingin bertemu, diharuskan mengajak keluarga ataupun kawan untuk ke rumah pihak perempuan. Dibolehkan juga mengajak calon (bersama mahramnya) ke tempat yang boleh dikunjungi dengan tujuan untuk mengetahui kecerdikannya, perasaannya, dan kepribadiannya. Semua ini termasuk kata sebahagian yang disebut dalam hadis Nabi SAW (HR Abu Daud di atas) yang mengatakan: “... kemudian dia dapat melihat sebahagian apa yang kiranya dapat menarik dia untuk mengawininya”
Wahai Ali, janganlah kamu ikuti pandangan dengan pandangan (berikutnya) kerana sesungguhnya bagimu pandangan yang pertama (tidak salah jika terlihat perempuan ajnabiyyah umpamanya pada pandangan pertama) dan bukanlah bagimu pandangan yang terakhir (kerana ia berdosa). Aurat lelaki dan hamba sahaya ialah antara pusat dan lutut dan aurat wanita yang merdeka ketika di dalam solat atau ketika terdapat di sekelilingnya orang yang bukan mahram ialah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan dan (aurat) ketika bersama mahramnya ialah antara pusat hingga ke lutut. Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Menutup aurat adalah wajib. g. Mengajukan Lamaran (Khitbah) Dalam syariat Islam, lamaran TIDAK DIAJUKAN kepada perempuan, MELAINKAN kepada ayah kandung sebagai wali dari perempuan yang akan menikahkannya. Terdapat dua cara mengajukan lamaran dalam Islam iaitu secara tashrih atau ta’ridh. Tashrih (تصريح) adalah ungkapan yang jelas dan tegas dengan menggunakan perkataan yang secara pasti menunjukkan keinginan untuk menikah. Contohnya: “Saya melamarmu untuk dijadikan isteriku” ataupun “Aku ingin menikahi dirimu setelah habis masa iddahmu.” Dan janganlah kamu berazam untuk berakad nikah, sebelum habis iddahnya. Manakala Ta’ridh (تعريض) pula adalah penyampaian khitbah yang menggunakan kata sindiran/kiasan sehingga boleh ditafsirkan menjadi khitbah atau bermakna sesuatu yang lain di luar khitbah. Ia juga menunjukkan bahawa secara pasti tidak adanya keinginan kuat untuk bernikah. Contohnya: “Banyak orang yang suka kepadamu.” Seorang perempuan, jika dia bebas dari ikatan pernikahan dan masa iddah, maka boleh melamarnya, baik secara jelas (tashrih) maupun sindiran (ta’ridh). Jika ia masih berstatus sebagai istri seseorang, maka haram melamarnya baik secara tashrih maupun ta’ridh. Sedangkan jika ia dalam masa iddah, maka haram melamarnya dengan tashrih. Adapun melamar secara ta’ridh, jika ia dalam masa iddah karena talak raj’i, maka haram melamarnya secara ta’ridh karena ia masih berstatus sebagai seorang istri. Sedangkan jika ia dalam masa iddah karena ditinggal mati atau yang semakna dengannya seperti talak bain dan fasakh, maka tidak haram melamarnya dengan ta’ridh.
Dari Abdullah bin Amr RA, Rasulullah SAW bersabda, “Semua mahar, pemberian, dan janji sebelum akad nikah itu milik pengantin wanita. Lain halnya dengan pemberian setelah akad nikah, itu semua milik orang yang diberi.” h. Akad Setelah khitbah dilakukan, janganlah menunggu lama untuk melangsungkan akad nikah. Apabila salah seorang dari kalian melamar wanita, maka selagi dia boleh melihat apa yang dapat mendorongnya untuk menikahinya, maka lakukanlah ia. Dari segi pelaksanaan pernikahan pula, cukuplah ia dilakukan semampu dari kedua belah pihak. Diantara keberkahan wanita adalah yang mudah peminangannya dan mudah maharnya. Wanita yang paling bayak berkahnya adalah yang paling murah maharnya. Berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas maka dapat disimpulkan, taaruf adalah proses perkenalan manakala khitbah adalah ketika lamaran dibuat. Melalui ruang taaruflah, kita patut mendapatkan sebanyak-banyaknya maklumat tentang calon tersebut dengan cara yang sesuai dengan syariat Islam iaitu dengan cara yang didampingi oleh perantara ataupun mahram. Walaubagaimanapun, kita harus faham bahawa, proses taaruf - khitbah tidak diperbolehkan dengan jangka masa yang lama/terlalu lama agar tidak menimbulkan fitnah. Selain itu, kita juga perlu tahu bahawa sunnah sebuah lamaran (khitbah) itu TIDAK perlu diumumkan sedangkan pernikahan adalah disunnahkan untuk diumumkan. Jelas dilihat bahawa Islam menjaga maruah kedua-dua pihak dalam proses ini disebabkan tiada kepastian di dalam khitbah, samada ia akan berakhir dengan pernikahan atau sebaliknya. 3. LARANGAN KETIKA TAARUF & KHITBAH a. Hindari Percakapan tidak Penting Hindarilah percakapan yang tidak penting seperti perkataan yang boleh menyakitkan hati atau melampaui batas. Jika perlu “SMS” cukup sekadar keperluaan dalam kerangka proses menuju pernikahan. Dimbimbangi, kekerapan berhubung tanpa tujuan yang jelas akan menimbulkan fitnah dan menjerumuskan kita dalam maksiat. b. Tidak boleh melamar perempuan yang sudah dikhitbah Seorang lelaki tidak boleh meminang perempuan yang telah dipinang saudaranya. 4. TAARUF MENGIKUT SYARAK MENGHINDAR DIRI DARI ZINA Taaruf merupakan langkah pertama bagi mewujudkan keluarga yang Sakinah, Mawaddah, dan Warahmah. Oleh sebab itu, Islam telah mengajarkan taaruf sebagai pendekatan yang terbaik untuk berkenalan, menjalin hubungan mengikut landasan syariat yang betul, serta menguatkan hati sebelum ke alam pernikahan. Islam TIDAK PERNAH mendidik kita untuk membudayakan ‘dating’ kerana hakikatnya dua insan yang berlainan jenis yang berdua-duaan tidak mampu mengelak terjadinya pandang memandang, saling bersentuhan atau lebih berat lagi, perbuatan zina. Perbuatan-perbuatan ini sudah jelas haram hukumnya dan jelas hukumannya menurut syariat Islam seperti yang ditegaskan kepada kita di dalam al Quran dan al Hadith. Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk. ….dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi…. Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. Tidaklah seorang laki-laki berkhalwat dengan seorang wanita, melainkan yang ketiga dari mereka adalah syaitan. Tiga (jenis manusia) yang tidak diajak bicara oleh Allah pada hari kiamat dan tidak pula Allah menyucikan mereka dan tidak memandang kepada mereka, sedang bagi mereka seksa yang pedih, iaitu lelaki tua yang suka berzina, seorang raja pendusta, dan orang miskin yang sombong. Dua kejahatan akan dibalas oleh Allah ketika di dunia; zina dan durhaka kepada ibu bapa. Hari kiamat tidak akan terjadi sehinggalah berlaku ilmu diangkat, kebodohan meningkat, khamr (minuman keras) diminum, zina bermaharajalela, rosaknya lelaki, wanita semakin ramai berbanding lelaki. 5. REDHA DAN YAKIN PADA KETENTUAN ALLAH SWT Dalam hal jodoh, kedua-dua pihak perlu sama-sama membuka kemungkinan berakhir dengan pernikahan atau sebaliknya. Ketika berlakunya kegagalan taaaruf tersebut, kita haruslah memahami bahawa selalunya ada makna tersirat yang disampaikan oleh Allah SWT kepada kita. Bukankah kita juga yang meminta kepada Allah SWT dengan penuh harapan dan keyakinan agar didekatkan hati dan dipermudahkan urusan dengan sesuatu yang baik serta dijauhkan dan dipalingkan hati dari sesuatu yang buruk??? Maka, dengan harapan dan keyakinan yang sama, kita mesti percaya ketentuan Allah SWT adalah yang terbaik dan pastinya Allah akan menggantikan apa yang pergi dengan yang lebih baik. Setiap orang telah diciptakan berpasang-pasangan justeru, ikhlaskan diri, redha, dan jangan diungkit perkara yang diluar pengetahuan kita. Segala apa yang melibatkan jodoh, rezeki, kematian dan lain-lain telahpun ditentukan oleh Allah SWT. Sesungguhnya setiap dari kalian akan dihimpunkan kejadiannya di dalam perut ibunya selama 40 hari kemudian menjadi segumpal darah dalam tempoh yang sama. Kemudian menjadi segumpal daging dalam tempoh yang sama. Kemudian Allah mengutuskan malaikat dan diperintahkan (malaikat tersebut) dengan empat kalimat. Dikatakan kepada malaikat: tuliskan amalannya, rezekinya, ajalnya, adakah dia bahagia atau derita. Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami). Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan - lelaki dan perempuan... Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya; Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan, sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya. Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah? Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. Dia lah yang menciptakan langit dan bumi; Ia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. Dan Allah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian Ia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan). Dan tiada mengandung seseorang perempuan (juga seekor betina), dan tidak pula satu-satunya melahirkan (anak yang dikandungnya) melainkan dengan keadaan yang diketahui Allah. Dan tidak diberikan seseorang berumur panjang, juga tidak dijadikan seseorang pendek umurnya, melainkan ada kadarnya di dalam Kitab Ilahi. Sesungguhnya yang demikian itu mudah sahaja kepada Allah. 6. DOA-DOA DIPERMUDAHKAN URUSAN JODOH
7. RANGKAIAN DOA-DOA MEMOHON DIPERMUDAHKAN SEGALA URUSAN 'ROAD to NIKAH'
To be continued… -Edited by Beyond.Dunia RUJUKAN
0 Comments
Leave a Reply. |
Doa Menuntut Ilmu
|