السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Islam melihat institusi kekeluargaan adalah satu institusi yang amat penting dalam melahirkan generasi-generasi yang hebat. Bahkan jika dilihat kepada fiqh Islam, dapati bahawa dalam kebanyakan kitab fiqh dan hadith pasti mengkhususkan penerangan tentang segala perkara yang berkaitan dengan nikah dan perceraian yang dinamakan Kitab al-Nikah. Menurut Ibnu Kathir RAH, kedatangan Islam telah dapat mengubah kebiasaan buruk masyarakat Arab Jahiliyyah yang gemar menceraikan dan merujuk isteri-isteri mereka sesuka hati meskipun telah bercerai berkali-kali. Islam mengajarkan bahawa talak yang boleh dirujuk adalah sebanyak dua kali dan jika tidak mahu untuk dirujuk maka lepaskanlah isteri tersebut dengan baik tanpa menzaliminya seperti yang disebutkan di dalam firmanNya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik” (QS al Baqarah: 229) Inilah dalil pensyariatan talak bagi pasangan yang berkahwin namun tidak dapat mencari jalan keluar dalam menyelesaikan masalah rumahtangga mereka. 1. Hukum & Dalil Tentang Cerai yang Dilarang & Dibolehkan a. WAJIB : Hukum perceraian menjadi wajib ketika isteri atau suami melakukan sesuatu yang keji dan mungkar, tidak mau bertaubat dan mengakui kesalahan, serta tidak mahu berubah. Menurut Ulama, adapun talak itu menjadi wajib jika mudarat yang menimpa salah satu dari suami isteri tidak dapat dihilangkan kecuali dengan penceraian. Disebabkan itu Rasulullah SAW bersabda kepada orang yang mengeluh kepada beliau tentang kejahatan isterinya: “Ceraikan dia,” (HR Abu Daud, Shahih). Walaubagaimanapun, Allah SWT tidak menyukai perceraian sekalipun di dalam Islam tidak melarang terjadinya perceraian. Justeru, Islam menganjurkan pasangan suami isteri untuk mencari jalan keluar lain sebelum menjadikan penceraian sebagai jalan penyelesaiannya. Di dalam surah al Baqarah (Ayat 227) Allah SWT berfirman: “Dan jika mereka berketetapan hati hendak menceraikan, maka sungguh, Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui.” b. MUBAH ( HARUS) : Hukum perceraian menjadi harus ketika perceraian atau pernikahan semakin mudarat, sulit mencari penyelesaian, atau masalah tersebut membawa kesan yang buruk bagi keadaan keluarga. Walaubagaimanapun, tentunya hal ini harus difikir dengan baik oleh kedua belah pihak agar keputusan yang diambil tidak memberikan kesan yang buruk khususnya bagi anak-anak dan keluarga masing-masing. Oleh itu, Islam memerintahkan suami dan isteri supaya tidak gelabah dan emosional dalam mengambil keputusan kerana perkara ini perlu diputuskan dengan rasional, tenang, beserta ilmu pengetahuan yang mencukupi. “Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan memberi kecukupan kepada masing-masing dari kurniaanNya. Dan Allah Maha Luas (kurniaanNya) dan Maha Bijaksana” (QS An Nisaa': 130) c. MAKRUH : Hukum perceraian menjadi makruh ketika suami menceraikan isterinya atau isteri meminta cerai pada suami tanpa ada sebab yang jelas. Hal ini tentu menjadi suatu yang makruh untuk dilakukan kerana komitmen pernikahan tidak wajar hancur disebabkan alasan yang tidak jelas. Tidak ada pasangan yang bercerai tanpa alasan yang jelas. Walaubagaimanapun, Islam lebih menyukai umatnya yang memelihara keluarga dan memelihara pernikahan. Ini kerana, perceraian adalah sesuatu yang tidak disukai oleh Allah dan justeru disukai oleh Iblis. “Dan jika mereka berketetapan hati hendak menceraikan, maka sungguh, Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui.” (QS al Baqarah: 227) Konteks ayat di atas adalah sebentuk peringatan dan ancaman iaitu, “Jika kalian berbuat demikian…sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”, jelas menunjukkan bahawa perceraian tidaklah disukai oleh Allah SWT. “Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air kemudian mengirim pasukannya (ke berbagai penjuru). Pihak yang terdekat kedudukannya dari Iblis adalah yang paling besar menimbulkan fitnah. Salah satu dari mereka datang (menghadap Iblis) dan menyatakan: Aku berbuat demikian dan demikian. Iblis menyatakan: engkau belum berbuat apa-apa. Kemudian datang satu lagi (melaporkan): Aku tidak tinggalkan ia (manusia) hingga aku pisahkan ia dengan isterinya. Kemudian Iblis mendekatkan kedudukannya dan mengatakan: bagus engkau” (HR Muslim) “Isteri manapun yang meminta cerai kepada suaminya tanpa alasan, maka bau syurga diharamkan baginya,” (Sunan an Nasa’i, Sunan Abu Daud, Sunan At Tirmidzi & Sunan Ibnu Majah, Shahih) d. HARAM : Talak juga boleh menjadi haram kerana menimbulkan mudarat pada salah seorang dari suami isteri dan tidak menghasilkan manfaat yang lebih baik dari mudaratnya, atau manfaatnya sama dengan mudaratnya. Selain itu, hukum perceraian juga boleh menjadi haram jika isteri sedang pada keadaan haid atau nifas, atau jika suami melafaz talak yang lebih dari satu kali, ataupun suami menceraikan isterinya pada talak tiga sekaligus. 2. Jenis Lafaz Cerai (Talak) Lafaz talak terbahagi kepada dua iaitu sarih (jelas/nyata) dan kinayah (kiasan). “Lafaz yang digunakan, yang menunjukkan maksud talaq secara jelas dan tidak dapat diandaikan kepada maksud lain, dinamakan lafaz nyata (صريح). Sementara lafaz yang tidak menunjukkan maksud talaq secara jelas, boleh diandaikan dengan maksud yang lain selain talaq. Ia dinamakan lafaz kiasan (كناية)” (Kitab al Fiqh al Manhaji) Lafaz yang nyata juga termasuk terjemahan lafaz talaq dalam bahasa lain selain daripada bahasa Arab berdasarkan penggunaannya yang lumrah dalam masyarakat sebagaimana lafaz talaq yang biasa digunakan oleh orang Arab. Contohnya apabila menggunakan kalimah yang hanya digunakan untuk talak iaitu talak (طلاق), lepas (سراح) atau pisah (فراق) atau kata terbitan daripada kalimah-kalimah seperti:
Manakala, lafaz kinayah (kiasan) pula termasuk:
3. Lafaz Cerai Zaman Moden Talak akan jatuh jika dilafazkan oleh suami kepada isteri sama ada secara sarih sekalipun tanpa niat atau secara kinayah jika disertakan dengan niat. Tiada pengecualian di dalam syarak jika talak berkenaan disebutkan ketika waktu normal, bergaduh, atau bergurau. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiga perkara yang dilakukan secara serius atau main-main memberi kesan; nikah, talak, dan rujuk” (HR Abu Daud, at-Tirmizi & Ibnu Majah) Menurut fatwa Ulama, hukum penceraian melalui SMS adalah sah dan jatuh talaknya sekiranya ia memenuhi syarat-syarat berikut:
Manakala, penceraian melalui SMS yang tidak memenuhi syarat-syarat di atas adalah tidak sah dan hanya akan ditentukan oleh Mahkamah Syariah. Sekiranya penceraian melalui SMS menggunakan kata-kata yang tidak jelas (sindiran) seperti surat, faksmili, telefon, dan e-mail maka, kesemuanya termasuk dalam talak kinayah. Dalam hal ini, sebahagian Ulama Islam telah meletakkan cerai melalui aplikasi Whatsapp dan seumpamanya adalah talak kinayah, bukannya talak sarih. Sekiranya dihantarnya Whatsapp itu dengan niat lafaz cerai dan si suami itu mengaku di hadapan hakim, barulah dikira cerai yang sah. 4. Jenis Penceraian Dalam Islam a. CERAI TALAK : Perceraian secara talak berlaku apabila kedua-dua pihak suami dan isteri bersetuju untuk bercerai secara baik, atau suami membuat keputusan untuk menceraikan isteri dengan lafaz talaq sarih atau kinayah. i) Talak sarih (jelas): "Aku ceraikan kau." atau "Kamu diceraikan." ii) Talak kinayah (kiasan): "Pulanglah pada orang tuamu!" atau kenyataan suami yang dibuat secara bertulis atau melalui SMS. b. CERAI TA'LIQ : Ta'liq didefinisikan mengikut Undang-undang Keluarga Islam sebagai lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah. Perceraian secara ta'liq berlaku apabila suami melanggar ta'liq yang dibuat olehnya semasa upacara akad nikah. Walaupun amalan ini tidak wajib mengikut hukum syarak, ia boleh diterima pakai berdasarkan kepada persetujuan kedua-dua pihak. Manakala, lafaz ta'liq yang dibuat oleh suami adalah berbeza-beza mengikut negeri. Sebagai contoh: “Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khulu'." c. CERAI KHULU' / TEBUS TALAK : Perceraian secara khulu' merupakan salah satu alternatif perceraian yang boleh berlaku dengan penawaran oleh pihak isteri untuk bercerai dengan suaminya dengan menawarkan sejumlah wang atau harta sebagai pampasan. Perceraian berlaku dengan lafaz talaq oleh suami apabila dia bersetuju dengan pampasan tersebut. Perceraian jenis ini juga termasuk dalam kategori talaq ba’in sughra. Oleh itu, ia tidak boleh dirujuk. Maksudnya, sekiranya lelaki tersebut ingin kembali bersama bekas isterinya, dia diwajibkan untuk melamar dan menikah semula dengan bekas isterinya itu. Sementara itu, wanita yang meminta khulu' itu wajib menunggu sampai masa ‘iddahnya berakhir sekiranya ingin menikahi lelaki lain. d. CERAI FASAKH : Fasakh merupakan pembubaran perkahwinan melalui kuasa yang diberikan kepada Hakim. Walaupun hak untuk memohon fasakh terpakai kepada kedua-dua suami dan isteri, namun secara amalannya hak fasakh diberikan kepada isteri memandangkan suami mempunyai hak untuk melafazkan talaq. Perceraian secara fasakh boleh berlaku apabila hakim memutuskan untuk memfasakhkan perkahwinan tersebut dengan alasan yang boleh memudaratkan pihak-pihak dalam perkahwinan tersebut dan ia tidak dapat diselamatkan lagi seperti keadaan berikut:
Jika bukti-bukti dari pihak isteri telah sah, maka Hakim berhak memutuskan hubungan perkahwinan antara keduanya. e. CERAI LI'AN : Perceraian secara li'an berlaku apabila suami menafikan anak yang dilahirkan oleh isterinya atau anak di dalam kandungan isterinya sebagai anaknya, atau menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain tanpa empat orang saksi. Sumpah li’an dilakukan oleh suami dengan menyatakan atas nama Allah, dia bersumpah bahawa isterinya telah melakukan zina. Sumpah itu dinyatakan sebanyak 4 kali oleh suami, dan pada sumpah kelima, suami menyatakan dia siap menerima laknat Allah jika dia berbohong. Manakala, isteri akan melakukan sumpah balik (sumpah nukul), atas nama Allah, dia bersumpah bahawa dia tidak melakukan zina. Sumpah itu dinyatakan isteri sebanyak 4 kali dan pada sumpah kelima, isteri menyatakan dia siap menerima laknat Allah jika tuduhan suaminya itu benar. Maka apabila pihak-pihak tersebut (suami dan isteri) telah mengangkat sumpah dengan cara li'an, mengikut hukum Syara' di hadapan Hakim Syar'ie, maka mereka akan difaraqkan. Kesannya, kedua-dua pihak tidak boleh rujuk kembali atau berkahwin semula. 5. Sebab-sebab Penceraian di Malaysia Menurut kajian media, terdapat hampir 20 sebab berlakunya perceraian di Malaysia dan malangnya alasan-alasan yang dikemukakan untuk bercerai amatlah remeh sekali. Antara yang disebutkan adalah:
6. Bagaimana Mentarbiah Diri & Pasangan Untuk Bertoleransi ? Mufti Wilayah Persekutuan, S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri pernah menyarankan kepada pasangan yang ingin berkahwin, sudah berkahwin mahupun yang sedang berada di ambang konflik untuk menginsafi diri dan juga melihat hakikat kehidupan berkeluarga itu yang mana amat memerlukan kepada ilmu dan juga toleransi. Antara perkara yang boleh dilakukan:
7. Doa-Doa untuk Kebahagian Rumah Tangga & Keturunan yang Soleh Sebagai penutup, berikut adalah beberapa bacaan doa yang boleh diamalkan untuk memelihara kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga:
Semoga Bermanfaat -Edited by Beyond.Dunia Rujukan https://says.com/my/seismik/jenis-perceraian-dalam-islam https://muftiwp.gov.my/en/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/1827-bayan-linnas-siri-46-cerai-elakkanlah https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4208-al-kafi-1619-kalau-nak-cerai-sangat-cerailah https://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-personalisation/fatwa-tahunan/keputusan-fatwa-xwarta/2001-2005/875-hukum-cerai-melalui-sms http://mufti.terengganu.gov.my/index.php/bayan-almunir/persoalan/432-ceraikan-isteri-melalui-aplikasi-whatsapp http://pa-cilacap.go.id/tentang-pa/informasi/artikel/77-hukum-perceraian-menurut-pandangan-islam.html https://www.popmama.com/life/relationship/annas/hukum-perceraian-menurut-islam/5 https://dalamislam.com/hukum-islam/perceraian-menurut-islam
0 Comments
Leave a Reply. |
Doa Menuntut Ilmu
|