السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Taubat adalah jalan yang dilorongkan Allah bagi hambanya untuk membersih diri dari segala dosa. Setiap manusia akan sedar bahawa Allah yang Maha Memberi tidak akan membiarkan setiap hambanya begitu sahaja melainkan dijentik pengetahuan untuk hambaNya bermuhasabah diri supaya sentiasa membetulkan atau memperbaiki diri. Allah sebenarnya sangat menyukai orang-orang yang bertaubat sebagaimana yang disebutkan di dalam al-Quran dan al-Hadith. “Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya” (QS Taha : 82). “…Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik; dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)” (QS Ali ‘Imran : 134 - 135). “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri” (QS. al Baqarah: 222). “Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahan yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (QS an-Nuur : 5). “Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (QS al-A’raaf : 153). “Tak ada sesuatu pun yang lebih dicintai Allah, daripada seorang pemuda yang bertaubat” (HR al Dailami). “Allah sangat gembira kepada hambanya yang kembali kepadanya” (HR Bukhari). Ada dua perkara yang harus diberi penekanan untuk mengorak langkah bertaubat yang terbaik yang harus kita fahami dan usahakan iaitu: 1. Memahami kategori maksiat dan syarat-syarat taubat Imam al Nawawi menyebut di dalam kitab Riyadus Salihin, para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika dosa itu antara hamba dengan Allah SWT yang tidak bersangkut paut dengan hak manusia, maka hendaklah memenuhi 3 syarat di bawah:
Namun, sekiranya dosa itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka ada 4 syarat. Iaitu ketiga-tiga syarat di atas dan ditambah satu syarat lain lagi iaitu: "Hendaklah dia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya). Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ia berbentuk ghibah, maka harus minta dihalalkan” Sekiranya salah satu syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi, maka taubatnya TIDAK SAH. 2. Memahami pendekatan yang perlu diambil Apabila dosa atau kesalahan yang dilakukan termasuk dalam dosa kecil, maka kita perlu untuk bertaubat dengan cara mendekatkan diri kepada Allah SWT dan selalu beristighfar. Namun apabila dosa yang telah kita perbuat itu besar, maka cara bertaubat yang harus kamu dilakukan ialah dengan solat taubat dan tidak mengulanginya lagi. Beristighfarlah, kerana kekuatan diri menjadi bertambah dengan istighfar. Dan (Hud berkata): “Wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa” (QS Hud : 52) Beristighfarlah, kerana Allah tidak mengazab orang yang selalu beristighfar. "Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun)" (QS al Anfaal : 33) Beristighfarlah, kerana boleh ia jadi penyebab turunnya rahmat Allah. "Nabi Soleh berkata (kepada puak kafir): 'Wahai kaumku, mengapa kamu segerakan kufur ingkar yang mendatangkan keburukan kepada kamu, (tidak) mendahulukan iman yang mendatangkan kebaikan kepada kamu? Alangkah baiknya kalau kamu memohon ampun kepada Allah supaya kamu diberi rahmat.' " (QS an Naml : 46) Kemudian bertaubatlah, kerana ia termasuk dalam sunnah Rasulullah SAW. Terdapat pelbagai dalil hadis yang mengajak kita untuk bertaubat antaranya ialah: "Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah SWT, karena sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah SWT dalam satu hari sebanyak seratus kali" (HR Muslim) "Sesungguhnya Allah SWT membuka "tangan"Nya pada malam hari untuk memberikan ampunan kepada orang yang melakukan dosa pada siang hari, dan membuka "tangan"Nya pada siang hari, untuk memberikan ampunan kepada orang yang melakukan dosa pada malam hari, (terus berlangsung demikian) hingga (datang masanya) matahari terbit dari Barat (kiamat)" (HR An Nasa’i) "Jika kalian melakukan dosa hingga dosa kalian sampai ke matahari, kemudian kalian bertaubat, niscaya Allah SWT akan mengampuni kalian" (HR Ibnu Majah) "Di antara kebahagiaan manusia adalah, panjang usianya, dan Allah SWT memberikan rezeki taubat kepadanya" (HR al Hakim) "Orang yang bertaubat dari dosa adalah seperti orang yang tidak berdosa" (HR Ibnu Majah & at Thabrani) Teguhkan niat taubat, kerana para nabi juga bertaubat kepada Allah SWT. Merekalah teladan yang harus diikuti. Tidaklah Allah merakamkan kisah taubat para nabi terdahulu di dalam al Quran melainkan untuk dijadikan teladan dan iktibar bagi kita di akhir zaman. Jika para nabi juga merendah diri dan mengakui kesalahannya di depan Allah, maka siapakah kita yang bukan nabi, yang jauh dari kemuliaan seorang nabi, untuk tidak bertaubat atau menangguhkan taubat kepada Allah.
Kemudian, susun rutin harian yang lebih Islamik dan hindari lingkungan lama yang bermaksiat. Sebagai contoh, mulakan dengan memperbaiki bacaan al Quran dengan berguru (talaqqi) secara online atau face-to-face, kemudian beralih pula ke membaca terjemahan, kemudian tadabbur, dan lain-lain secara berperingkat sesuai dengan kadar diri sendiri. Jangan memaksakan diri membuat pelbagai perkara dalam satu masa kerana dibimbangi ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’. Displinkan diri ikut kemampuan sendiri, ini bertujuan untuk membiarkan diri merasai nikmat dan jatuh cinta pada amalan tersebut sehingga hendak meninggalkannya pun membuat diri rasa bersalah dan rugi. Setelah mencapai keindahan rasa itu, tingkatkanlah (tambah) lagi amalan-amalan yang lain. Ituah cara yang paling efektif tetapi sangat sukar untuk dilakukan kerana meninggalkan sesuatu yang lama (habits) akan membuat diri berasa janggal dan apabila memulakan sesuatu yang baru pula perlu kepada penyesuaian. Sebenarnya, ia menjadi sukar kerana hati dan niat masih tidak selari. Hati ialah pangkal pertama bagi membangunkan taubat. Apabila hati merenungkan keburukan perbuatan, serta menyedari dosa-dosa yang diperbuatkan itu, nescaya dalam hati akan terdetik keinginan untuk bertaubat, dan menjauhkan diri dari melakukan tindakan-tindakan yang buruk. Sepatutnya hati dan lidah saling sama melakukan istighfar supaya tidak hanya lidah yang berkata-kata aku beristighfar kepada Allah sementara hatinya masih teringin melakukan maksiat (Fadli, 2019). Ibnu Abbas RA mengatakan orang yang berbuat begitu sebenarnya sedang mengejek Allah SWT dan Rabiah al ‘Adawiyah RA menambah pula, istighfar yang dilafaz dengan kelalaian sebenarnya perlu kepada istighfar yang lebih atas kelalaian itu sendiri terlebih dahulu. Sebagai penutup, apapun jalan kebaikan pasti akan diuji dengan pelbagai rintangan dan halangan. Sama ada ia datang sebagai ujian untuk melihat sekuat mana kita melawan atau selemah mana kita ‘u-turn’ dengan sejuta alasan. Itulah yang dinamakan dengan kecenderungan hati. Maka berlindunglah kepada Allah untuk menjaga hati kita dan memelihara keteguhan niat taubat kita hingga akhir hayat. "Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat" (HR Bukhari). "Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan harta kamu. Akan tetapi Allah SWT melihat kepada hati dan amalan kamu" (HR Muslim). Selain itu, ingatlah juga bahawa taubat adalah satu bentuk jihad, iaitu jihad memerangi hawa nafsu. "Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami" (QS al -'Ankabut : 69). Maka, apabila kita sedang melalui proses tersebut, hati kita mestilah sentiasa bersangka baik kepada Allah kerana Allah telah berfirman: "Aku sesuai dengan persangkaan hambaKu kepadaKu, dan Aku akan bersamanya ketika ia berzikir kepada-Ku, dan Allah SWT lebih senang dengan taubat seorang manusia dari pada seorang kalian yang menemukan kembali perbekalannya di padang tandus. Barangsiapa yang mendekat kepadaKu satu hasta maka Aku akan mendekat kepadanya satu lengan, dan barang siapa mendekat kepadaKu satu lengan maka Aku akan mendekat kepadanya dua lengan, dan jika ia menghadap kepadaKu dengan berjalan maka Aku akan menemuinya dengan berlari" (HR Muslim). -Edited by Beyond.Dunia Rujukan
0 Comments
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Istighfar dan taubat merupakan dua perkara utama yang perlu dilakukan untuk kita melebur dosa. Walaubagaimanapun, taubat mempunyai sempadan masa sedangkan istighfar tidak. Ini kerana taubat perlu dilakukan oleh pelakunya sebelum dicabut nyawa. إِنَّ اللهَ يَقْبَلُ تَوْبَةَ الْعَبْدِ مَالَمْ يُغَرْغِرْ “Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selama nyawanya (rohnya) belum sampai tenggorokan” (HR Ahmad, at Tirmidzi, Hadis Hasan). “Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: "Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini," (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya” (QS an-Nisaa’ : 18). وَّاَنِ اسْتَغْفِرُوْا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوْبُوْٓا اِلَيْهِ يُمَتِّعْكُمْ مَّتَاعًا حَسَنًا اِلٰٓى اَجَلٍ مُّسَمًّى وَّيُؤْتِ كُلَّ ذِيْ فَضْلٍ فَضْلَهٗ ۗوَاِنْ تَوَلَّوْا فَاِنِّيْٓ اَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ كَبِيْرٍ “Dan hendaklah kamu memohon ampunan kepada Tuhanmu dan bertaubat kepadaNya, nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik kepadamu sampai waktu yang telah ditentukan. Dan Dia akan memberikan kurniaNya kepada setiap orang yang berbuat baik. Dan jika kamu berpaling, maka sungguh, aku takut kamu akan ditimpa azab pada hari yang besar (Kiamat)” (QS Hud : 3). Ibnu al-Qayyim menerangkan bahawa istighfar termasuk dalam taubat dan taubat juga termasuk dalam istighfar. Namun apabila salah satu dari perkataan ini dipisahkan maka istighfar itu dimaksudkan kepada dua jenis dosa iaitu, dosa yang telah berlalu (beristighfar darinya ialah memohon perlindungan dari keburukannya) dan dosa yang akan datang (beristighfar dari dosa yang dikhuatiri akan menimpa). Begitu juga dengan taubat; iaitu sebuah tekad untuk tidak melakukan dosa dan kembali kepada Allah. Ia juga terbahagi kepada dua iaitu, kembali kepada Allah agar Allah melindungi kita dari keburukan yang telah lalu dan kembali kepada Allah agar Allah melindungi kita dari keburukan diri kita dan keburukan kita di masa akan datang (Madarij as-Salikin). Menurut Yusuf al-Qardawi pula, istighfar bermaksud memohon perlindungan dari dosa yang lalu manakala taubat bermaksud kembali dan memohon perlindungan dari akibat keburukan yang dikhuatiri akan menimpa di masa akan datang (al-Taubah ila Allah). Manakala al-Raghib al-Isfahani mengatakan bahawa istighfar ialah memohon ampun yang tidak hanya untuk menghapuskan dosa akan tetapi sebagai pemeliharaan dari kejahatan dan dosa. Beliau memperincikan kata istighfar sebagai permintaan ampun dengan ucapan dan perbuatan kerana, jika istighfar yang diucapkan tanpa iringan perbuataan yang baik maka hal tersebut temasuklah pekerjaan pendusta (Mufradat Alfaz al-Quran). Selain itu, menurut Imam al-Ghazali, taubat itu ialah kembali mengikuti jalan yang benar dari jalan sesat yang telah ditempuhinya manakala al-Qushayri mengatakan taubat adalah meninggalkan dosa dalam segala bentuknya, menyesali dosa yang pernah dilakukan, dan bertekad untuk tidak melakukan dosa lagi. Ibnu Dihya al-Kalby juga mengatakan bahawa taubat ialah menyesal dalam hati, meminta ampunan dengan lidah, berhenti disaat itu juga dari dosa tersebut dan meneguhkan azam untuk tidak mendekati dosa tersebut lagi sedangkan Sa’id ibn al-Musayyab berpendapat taubat ialah menasihati diri kerana telah bersalah dan patuh menuruti nasihat itu. Terdapat banyak dalil-dalil tentang pensyariatan taubat dapat ditemukan di dalam al-Quran dan al-Hadis di mana tiada sesiapapun yang dikecualikan daripada bertaubat sekalipun orang tersebut adalah orang yang taat dalam menjalankan perintah Allah SWT. “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung” (QS an-Nuur : 31). “Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taubat” (QS at-Tahrim : 8). Rasulullah SAW bersabda, “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kamu kepada Allah kerana sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak seratus kali” (HR Muslim, Hadis Shahih). “Jika kamu melakukan dosa sehingga dosa kamu sampai ke langit, kemudian kamu bertaubat, nescaya Allah akan mengampuni kamu” (HR Ibnu Majah, Hadis Hasan). “Semua anak Adam adalah cenderung melakukan kesalahan, dan paling baik orang yang berbuat salah adalah mereka yang bertaubat” (HR at-Tirmidzi, Hadis Shahih). Al-Qurtubi menjelaskan bahawa ijma’ Ulama sepakat mengatakan bahawa taubat adalah fardu ke atas setiap orang mukmin. Imam Nawawi juga mengatakan bahawa bertaubat dari semua dosa adalah wajib dan wajib dilakukan dengan segera sama ada dosa besar ataupun dosa kecil. Ini bertepatan dengan sebuah hadis hasan yang diriwayatkan daripada at-Tirmidzi, “Sesungguhnya seorang hamba apabila melakukan satu dosa akan tertompok di hatinya satu titik hitam, maka apabila dia meninggalkan perbuatan dosa itu dan memohon ampun, maka hatinya kembali bersih dan sekiranya dia kembali mengulangi perbuatan dosanya itu, maka titik hitam itu akan bertambah sehingga menutupi seluruh hatinya.” Oleh sebab itu, bertaubat kepada Allah adalah sebenarnya satu kesempatan yang penting dan perlu dimanfaatkan oleh semua umat manusia. Namun tidaklah bermaksud bahawa dengan kesempatan ini kita masih berpeluang untuk membuat dosa-dosa. Sebaliknya, jika kita tidak bertaubat kepada Allah kita sebenarnya telah menzalimi dan merugikan diri sendiri. Ini kerana, perbuatan tidak bertaubat sebenarnya perbuatan orang-orang yang zalim dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim. “Dan barangsiapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” (QS al-Hujurat : 11). "Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan beruntung" (QS Yusuf : 23). "Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim" (QS Ali 'Imran : 57). "Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim" (QS Al Maidah : 51). "Dan tidak ada seorangpun daripadamu, melainkan mendatangi neraka itu. Hal itu bagi Tuhanmu adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan. Kemudian Kami menyelamatkan orang-orang yang bertakwa dan membiarkan orang-orang yang zalim di dalam neraka dalam keadaan berlutut" (QS Maryam : 71 - 72). Firman-firman Allah SWT yang disebutkan di atas merupakan peringatan-peringatan yang sangat jelas daripadaNya. Disinilah kita dapat melihat kepentingan bertaubat dan menyedari akibat serta pandangan Allah kepada orang-orang yang tidak bertaubat kepadaNya. Menurut Osman et al. (2013), keupayaan melestarikan hubungan manusia dengan Tuhan perlu kepada tindakan berasaskan taubat dalam bentuk spiritual yang didokong oleh peranan fizikal manusia. Dollah et al. (2016) turut menyatakan pendapat yang lebih kurang sama iaitu taubat menjadi kaedah utama dalam proses penyucian jiwa dalam ajaran Islam bagi mewujudkan hubungan antara manusia dengan Tuhannya. Jadi, sekiranya taubat dipandang sebagai titik tolak atau langkah pertama kita dalam perjalanan menuju Allah SWT, justeru tanpa taubat dapatkah kita mendapatkan jalan menuju Nya? Lalu, bagaimanakah cara bertaubat yang terbaik yang harus kita fahami dan usahakan? Dan dimanakah titik kekuatan yang perlu kita dijaga atau dipegang erat agar kita tidak kembali/tergelincir kepada kesilapan lalu? Sedalam manakah kefahaman kita tentang perkara ini? To be continued… Edited by Beyond.Dunia Rujukan:
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Tahukah kita bahawa anak kunci untuk sampai kepada kesempurnaan agama ialah sifat takutkan Allah SWT. Perasaan takut adalah naluri semulajadi manusia. Dan ternyata puncak rasa takut seorang hamba adalah kepada penciptaNya. Syeikh Abu Sulaiman Al Darani berkata, “Apabila perasaan takutkan Allah SWT telah keluar daripada mana-mana hati, maka hati itu akan binasa.” Ini kerana, hanya hati yang takutkan Allah saja akan ditunjukkan ke arah jalan kebaikan (Saidina Fudayl bin ‘Iyad). Allah berfirman dalam sebuah Hadis Qudsi, “Aku tidak menghimpunkan dua ketakutan kepada seseorang hambaKu dan Aku tidak memberikan dua kelapangan fikiran kepada seseorang hamba. Sekiranya seseorang itu tidak takut kepadaKu di dunia ini, maka Aku akan membuatnya takut di akhirat nanti. Sekiranya di dunia ini dia sentiasa takut kepadaKu, maka Aku akan menyelamatkannya dari segala ketakutan.” “Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka” (QS Al Hadiid : 16) Para sahabat, tabi’in, solihin, dan ulama’ pada zaman dahulu sangatlah takut pada siksa dan azab Allah SWT. Sehinggakan mereka menangis semahu-mahunya apabila membaca ayat Al-Quran yang berisi pernyataan tentang azab neraka. Sebuah kisah yang tidak asing, tentang Saidina Abu Zurarah bin Aufa yang sedang mengimami solat di sebuah masjid. Apabila bacaannya sampai kepada ayat “Kerana apabila telah ditiup sangkakala. Maka saat yang demikian adalah saat (berlakunya) hari yang sukar” (QS Al Muddaththir : 8-9), beliau terus rebah dan meninggal dunia. Antara kisah-kisah yang lain, suatu hari Rasulullah SAW lalu berhampiran seorang sahabat muda yang sedang membaca Al-Quran. Apabila bacaannya sampai kepada ayat “Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak” (QS Ar Rahman : 37), pemuda tersebut menangis sehingga sesak nafas sambil berkata “Apakah yang akan terjadi kepadaku pada hari yang langit pun akan terbelah? Binasalah diriku.” Saidina Abdullah bin ‘Umar juga selalu menangis sehingga kedua matanya menjadi rosak. Sehinggakan ada yang menegur kerana hairan melihat beliau menangis sedemikian rupa. Lalu, Saidina Abdullah berkata “Adakah kau hairan dengan tangisanku? Matahari juga menangis kerana takutkan Allah, begitu juga dengan bulan.” Mu’adz RA pernah menangis tersedu-sedu. Kemudian ditanyakan kepadanya, “Apa yang membuatmu menangis?”. Maka beliau menjawab, “Kerana Allah SWT hanya mencabut dua jenis nyawa. Yang satu akan masuk syurga dan satunya akan masuk ke dalam neraka. Sedangkan aku tidak tahu akan termasuk golongan manakah aku di antara kedua golongan itu?” Abu Musa al-Asya’ri RA suatu ketika memberikan khutbah di Basrah, dan di dalam khutbahnya dia bercerita tentang neraka. Beliau menangis sampai air matanya membasahi mimbar dan begitu juga orang-orang yang mendengarkan turut menangis dengan tangisan yang amat dalam. Saidina Abdullah bin Rawahah pernah bertanya kepada sahabatnya yang sedang menangis, “Apakah perkara yang menyebabkan engkau menangis?” Lalu sahabatnya menjawab, “Aku menangis kerana memikirkan keadaan kita yang akan melalui neraka Jahannam. Aku tidak tahu samada aku dapat melepasi laluan itu atau aku akan jatuh ke dalamnya.” Al-Hasan Al-Bashri RAH pernah menangis, dan ditanyakan kepadanya, “Apa yang membuatmu menangis?”. Maka beliau menjawab, “Aku bimbang esok Allah akan melemparkan diriku ke dalam neraka dan tidak memperdulikan aku lagi.” Melihat kepada tahap al-khauf yang wujud dalam diri insan-insan terdahulu menjadikan diri kita cukup kerdil dalam menggalas iman yang semakin tiris di fasa akhir, akhir zaman. Justeru, tanpa perasaan takut kepada Allah SWT sehebat mereka, akankah terbit bibit kesedaran dalam diri kita terhadap dosa-dosa atau maksiat-maksiat yang pernah kita dilakukan. Persoalannya, sejauh manakah kita merasa takut mengenang dosa-dosa kita? Dan adakah cukup kita menangisi dosa-dosa kita? Atau masihkah kita berani meneruskan perbuatan dosa dan maksiat sekalipun pelbagai ancaman dan peringatan telah Allah SWT sampaikan di dalam Al-Quran? Rasullah SAW pernah ditanya oleh seorang sahabat yang bernama Saidina Uqbah bin ‘Aamir tentang apakah jalan keselamatan. Sabda Rasullah SAW kepadanya, “Jagalah lidahmu, duduklah di dalam rumah, dan tangisilah dosa-dosamu.” Ini seiring dengan peringatan Allah dalam firmanNya yang berbunyi, “Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan.” (QS At Taubah : 82) Pada suatu hari, Abu Abdullah Sufyan bin Said atau lebih dikenali sebagai Sufyan al-Tsauri terlihat cemas dan menangis. Lalu, berkatalah salah seorang sahabatnya, ''Tetaplah engkau berharap kepada Allah. Sesungguhnya ampunan Allah lebih besar daripada dosa-dosamu.'' Lalu, Sufyan al-Tsauri menjawab, ''Tidak bolehkah aku menangisi dosa-dosaku? Jika saja aku telah mengetahui bahawa aku akan mati dalam keadaan tetap mengesakan Allah, maka aku tidak akan peduli dengan dosa-dosaku yang sebesar gunung-gunung itu.'' “Sesungguhnya seorang Mukmin itu melihat dosa-dosanya seolah-olah dia berada di kaki sebuah gunung, dia bimbang gunung itu akan menimpanya. Sebaliknya, orang yang derhaka melihat dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, dia mengusirnya dengan tangannya, maka lalat itu terbang.” Menurut ahli tafsir, ini kerana hati seorang Mukmin itu diberikan cahaya. Apabila dia melihat pada dirinya ada sesuatu yang menyelisihi hatinya yang diberi cahaya, maka hal itu menjadi berat baginya. Disinilah kesinambungan sabdaan Rasulullah SAW tentang dosa, “Dan dosa itu sesuatu yang diragui dalam hati kamu dan engkau tidak suka diketahui orang lain.” (HR Muslim) "Seorang hamba apabila melakukan sesuatu kesalahan (dosa), maka dititikkan dalam hatinya satu titik hitam. Apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan. Apabila ia kembali (berbuat maksiat), maka ditambahkan titik hitam itu hingga menutupi hatinya. Itulah diistilahkan 'ar-Raan' yang Allah sebutkan dalam firman-Nya, ''sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.” (HR At Tirmidzi) Setiap dosa tidak pernah terlepas daripada catatan malaikat. “Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya yang mengawas dan menjaganya (daripada sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya” (QS Ar Ra’d : 11). Manakala, “Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu. Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya” (QS An Naazi’at : 40-41). Tsauban RA berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Aku benar-benar melihat di antara umatku pada hari kiamat nanti, ada yang datang dengan membawa kebaikan sebesar gunung Tihamah yang putih, lalu Allah menjadikannya seperti debu berterbangan (kebaikan itu tiada nilainya).” Tsauban RA bertanya, “Ya Rasulullah, jelaskan kepada kami siapa mereka itu agar kami tidak seperti mereka sementara kami tidak mengetahui!” Baginda bersabda, “mereka adalah saudara kalian dan sebangsa dengan kalian, mereka juga bangun malam seperti kalian, akan tetapi apabila mendapat kesempatan untuk berbuat dosa, mereka melakukannya.” (HR Ibnu Majah) Persoalannya, bilamana urusan ibadah dan hidup tidak berjalan atas garisan lurus yang dibenarkan oleh Allah SWT selain masih bebas melakukan apa saja sesuka hati dengan hanya menurut perasaan dan hawa nafsu, akan tenteramkah hati? Renungi bait-bait syair Arab ini “Jika engkau berada dalam nikmat, peliharalah dengan baik. Kerana dosa dapat menghilangkan nikmat itu. Peliharakanlah nikmat dengan taat kepada Tuhan segenap hamba. Tuhan segenap hamba yang sangat cepat turunkan azab dan seksaan-Nya.” To be continued… - Edited by Beyond Dunia Rujukan
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Tahukah kita apakah kesan-kesan buli terhadap mangsa buli? Beale (2001) dan Roberts & Coursel (1996) menyatakan bahawa mangsa yang sedang dibuli, mengalami satu atau lebih daripada perkara berikut iaitu ketidakhadiran ke sekolah yang kronik, penurunan prestasi akademik, peningkatan perasaan untuk menentang, kesunyian serta rasa disingkirkan dan timbul rasa ingin membunuh diri. Mereka sering berasa takut dan bimbang setiap kali berada di sekolah dan keadaan ini menyukarkan mereka untuk melibatkan diri secara aktif di dalam proses pembelajaran (Fauziah & Goh, 2005). Perasaan rendah diri, malu dan sedih kerana diejek memusnahkan keyakinan diri mereka sekaligus menjadikan mereka sebagai individu yang mudah rasa tersinggung atau sensitif, murung, takut, serta tidak suka ke sekolah. Kesan perlakuan buli ini telah menyebabkan suasana pembelajaran yang kurang sihat dan tidak memberangsangkan kepada mereka yang terlibat sama ada pembuli, mangsa buli, atau penonton kejadian buli (Amin Al Haadi, 2013). Akibatnya, hubungan pelajar dengan pelajar dan pihak sekolah akan terjejas dan tahap ketidakhadiran pelajar yang dibuli akan meningkat (Rigby, 1999). Malah lebih teruk lagi, Weinhold dan Weinhold (1998) menyatakan bahawa 10% pelajar tidak menamatkan persekolahan disebabkan mereka dibuli di sekolah. Selain itu, hasil kajian pakar neuro-saintis di USA mendapati mereka yang dibuli menunjukkan simptom kemurungan, kecemasan, dan lain-lain kecelaruan psikotik ‘psychiatrics disorders’. Mereka yang mengatakan pernah dibuli oleh rakan menunjukkan 'abnormality' di dalam otak yang dinamakan ‘Corpus Callosum’ iaitu bahagian yang berfungsi untuk memproses penglihatan dan ingatan yang menghubungkan antara otak kiri dan otak kanan (Teicher et al., 2010). Tidak cukup dengan itu, mangsa buli juga berhadapan dengan masalah kesihatan dan fizikal seperti hadapai masalah somatik, contohnya selsema dan juga masalah psychosomatik seperti pening kepala, sakit kepala, sakit perut, masalah tidur dan berkemungkinan terlibat dengan dengan tabiat merokok (Gini et al., 2009; Wolke et al., 2014). Mangsa buli juga dilaporkan mengalami masalah lambat pulih dari kesakitan (Sigurdson et al., 2014; Wolke et al., 2013). Mereka juga berasa kemurungan ‘anxiety disorder’ dan 'depression' apabila mereka mencapai umur awal dewasa dan pertegahan dewasa (Takizawa et al., 2014; Tapinski et al., 2010; Haynie et al., 2001). Perlakuan buli juga boleh melibatkan kecederaan kepada anggota tubuh mangsa buli yang bersifat kekal dan sementara. Antara kes-kes kecederaan buli yang mendapat liputan akhbar termasuklah pelajar-pelajar yang dibuli sehingga berlaku pendarahan usus dan buah pinggang akibat dipukul bertubi-tubi oleh sekumpulan pelajar senior di sekolah, kecederaan tisu lembut dalam badan, pendarahan dalam mata, bengkak rusuk kiri, darah beku di otak, kecederaan organ-organ dalaman, luka parah, dan sebagainya. Kesan-kesan ini bukan sahaja memberi kesan kepada biologi atau tubuh badan seseorang tetapi kepada fizikal bagaimana seseorang berfungsi dalam masyarakat. Mereka berisiko menjadi seorang dewasa yang terlalu emosi seperti mudah berasa marah, sedih, tertekan, tidak berdaya, sendirian, dan malu (Ortega et al., 2009) sehingga menjejaskan hubungan dengan orang lain dan keluarga (Yaakub, 2004). Oleh itu, janganlah kita memandang remeh perkara ini kerana ia belum atau tidak pernah terjadi ke atas kita mahupun ahli keluarga kita. Sebenarnya, tindakan kita mendiamkan diri dan menyokong kepada kezaliman itu bukanlah peribadi seorang muslim. Jangan juga kita takut seandainya diugut kerana tiada daya bagi mereka untuk berbuat apapun (kebaikan atau keburukan) ke atas kita melainkan dengan izin Allah. Sekiranya kita melihat kejadian buli seperti ini, dimanapun kita berada (samada di sekolah, matrikulasi, kolej, institusi, mahupun tempat kerja), pertahankanlah mereka yang lemah ini, buat laporan pada pihak berkuasa, dan jangan biar mereka dalam ketakutan yang berterusan. "Penghuni neraka adalah setiap orang yang keras, berteriak-teriak, sombong, mengumpulkan harta & kedekut, sedangkan penghuni syurga adalah orang-orang lemah yang diremehkan" (Musnad Ahmad) Semoga bermanfaat. -Edited by Beyond Dunia- Rujukan
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Tahukah anda bilakah kajian terhadap perlakuan buli mula dijalankan? Kajian mengenai perlakuan buli telah dijalankan seawal tahun 1970-an (James, 2010) dan semakin agresif dijalankan kerana perlakuan buli pada masa kini telah menjadi semakin serius dan kompleks terutamanya kesan terhadap mangsa buli (Olweus, 2001). Kajian Persatuan Psikologi Malaysia mendapati bahawa si pembuli berasa puas apabila berjaya menyakiti mangsa secara lisan dan fizikal. Dengan kata lain pembuli membuli orang lain sekadar untuk ‘berseronok’. Manakala mangsa buli hanya mendapat kesan jangka pendek dan panjang perbuatan buli ke atas mereka dari sudut mental, fizikal, sosial dan pembelajaran. Tahukah anda di manakah perbuatan buli paling banyak berlaku? Jawapannya ialah di sekolah. Berdasarkan kajian DeRosier et al. (1994) salah satu faktor pembentukan perlakuan buli di sekolah ialah konsep ‘kekitaan dan kepunyaan’. Schwartz et al. (2008) turut melaporkan bahawa perbuatan buli seringkali berlaku dalam kawasan sekolah. Menurut laporan Polis Diraja Bukit Aman Malaysia (2010), terdapat 13,134 kes buli yang dilaporkan dari tahun 2000 hingga tahun 2007. Kebanyakan kes buli ini melibatkan individu berumur 7 hingga 18 tahun (Utusan Malaysia, 2004 & Utusan Borneo, 2011) iaitu sebanyak 909 kes (Utusan Malaysia, 2004). Pembentukan karakter pembuli dan mangsa boleh terjadi kepada dua golongan iaitu melalui individu yang pasif, pemalu, introvert, dan tidak bersosial dan individu yang aktif, extrovert, dan pandai bersosial. Namun persoalannya, bagaimanakah kedua-dua keadaan di atas merubah seseorang menjadi sedemikian rupa? Individu yang pasif memerlukan sokongan untuk menjadi aktif dan bersosial, namun apabila keadaan menjadi tidak terkawal, golongan ini akan bertindak keterlaluan kerana beranggapan dirinya popular dan ramai penyokong. Akhirnya, golongan pertama ini terbentuk menjadi pembuli. Sebaliknya golongan kedua pula hanya pada awalnya mendapat sokongan kawan-kawan tetapi sekiranya terlibat dalam gejala buli, golongan ini tidak akan mendapat bantuan daripada rakan. Di sinilah titik permulaan sikap tidak percaya diri, hilang keyakinan, dan menyisihkan diri sehingga menjadi pasif dan tidak bersosial. Akhirnya, golongan kedua ini terbentuk menjadi mangsa buli (Yahaya, 2011). Berdasarkan kajian Georgiou et al. (2013), perbuatan buli merupakan perbuatan yang diperteguhkan oleh faktor orientasi nilai budaya dan keluarga yang mengamalkan didikan dan asuhan berbentuk autoritarian. Seseorang individu akan tertarik atau terpaksa melakukan perbuatan buli untuk dirinya diterima dalam kumpulan komunitinya atau kumpulan rakan-rakannya di sekolah (Sutton et al., 1999; Ojala & Nesdale, 2004). Walaubagaimanapun, berdasarkan kajian, didapati lebih ramai lelaki membuli dan dibuli berbanding dengan perempuan (Jankauskiene et al. 2008). Menurut Teori Olweus (1997) buli melibatkan isu kuasa, dan sifat maskulin juga amat berkaitan dengan pengaruh kuasa. Individu yang memiliki tahap maskulin yang tinggi merupakan model untuk dicontohi oleh individu lain. Mereka melihat bahawa model individu maskulin yang menggunakan kelebihan tahap maskulinnya, memperoleh ganjaran (berbentuk keseronokan, dihormati, ditakuti oleh individu lain) di atas perlakuan buli yang dilakukan terhadap individu yang lemah. Selain itu, terdapat faktor hormone testosterone yang menjadikan lelaki lebih agresif. Ciri-ciri maskulin seperti pandai berjenaka, bersih dan kemas, ‘athletic’, dan bersemangat tinggi adalah termasuk ciri utama lelaki pembuli sebaliknya rupa paras yang macho, tegap, ‘fashionabla’ dan ‘branded’, serta kaya, bukanlah termasuk ciri-ciri utama pembuli (Saibon et al., 2010). Ini sangat berbeza dengan ciri-ciri mangsa buli yang lazimnya memiliki watak keresahan yang tinggi dan lemah dari segi fizikal yang akan menjadikan diri mereka sebagai sasaran para pembuli. Faktor-faktor seperti kelainan diri, ciri-ciri fizikal yang lemah, kemahiran sosial yang rendah, pendiam, memiliki wajah hodoh, tidak popular, dan mempunyai sikap provokatif tanpa sedar telah membuka ruang kepada keganasan para pembuli (Ron, 2003). Dalam hal ini, siapakah yang harus disalahkan sehingga wujudnya ‘Si Pembuli’ dan ‘Mangsa Buli’? Kajian dalam bidang psikologi telah mendapati kebanyakan mereka yang terbabit dengan buli tidak mempunyai hubungan kekeluargaan kukuh dan datang daripada keluarga yang tidak mengambil berat pendidikan agama. Azizi et al. (2008) mendapati kemerosotan asuhan, didikan, bimbingan, dan kawalan oleh ibu, bapa, atau penjaga yang dipengaruhi oleh tekanan hidup, kesibukan bekerja, dan aktiviti sosial sehingga tiada masa untuk bersua muka, bercakap, berbincang, dan berdamping antara satu sama lain adalah faktor penyebab perlakuan buli. Selain itu, faktor guru displin yang tegas dan keterlaluan dalam menjatuhkan hukuman tanpa melihat sebab mendorong pelajar berperilaku pembuli. Sedangkan menurut Imam Ghazali, melalui pendidikanlah, perangai seseorang yang buruk itu dapat disemai dengan perangai atau sifat yang baik. Seorang pelajar yang nakal akan lebih hormat kepada guru apabila kenakalannya dilayan dengan proses pendidikanyang penuh hikmah. Ketegasan dan hikmah dalam memberi teguran terutama terhadap murid pembuli ini amat penting agar murid tidak merasa dirinya ‘demoralised’ atau dimalukan di khalayak ramai. Pujian dan kata-kata semangat yang diiringi dengan nada keinsafan dari seorang pendidik amat penting bagi memberikan kesedaran kepada para pelajarnya. Kita mungkin tidak dapat mewujudkan masyarakat Islam beriman dan bertakwa kepada Allah jika ada anggotanya yang tidak mengamalkan moral luhur. Gejala buli juga lahir daripada pengaruh media massa, filem-filem, dan rakan sebaya. Kebanyakan rancangan di televisyen kini sering memaparkan aksi ganas seperti bergaduh, mencuri, ponteng sekolah dan berlagak samseng yang menjadi ikutan kepada generasi masa kini. Tidak kurang juga yang dikongsikan melalui media sosial seperti ‘Instagram’, ‘Facebook’, ‘Snapchat’, ‘Tik tok’, ‘Youtube’, dan sebagainya memaparkan aksi-aksi yang ganas dan tidak bermoral. Aksi-aksi inilah yang akan dicontohi dan ditiru oleh mereka yang menontonnya terutama golongan muda, khususnya remaja atau pelajar-pelajar sekolah. Dunia hari ini sebenarnya telah keliru dalam mempertontonkan perkara yang benar atau salah sekaligus menormalisasikan kekerasan atau keganasan di dalam garisan kebenaran yang harus diikuti. “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.” (QS Al-Anfaal : 29) Maka, tidak hairanlah jika berlakunya kurang penghayatan dan kesedaran agama dalam diri remaja masa kini. Apabila kurangnya penghayatan agama, mereka akan merasa lebih bebas membuli dan melakukan perbuatan yang negatif. Ia juga menyebabkan kurangnya penghayatan terhadap konsep dosa dan pahala dalam setiap tindakan. Sedangkan buli tidaklah lahir daripada keimanan dan ketakwaan kepada Allah melainkan dari diri manusia yang lalai dan lupa. “Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.” (QS Al-A’raaf : 205) -Edited by Beyond Dunia- Sumber rujukan:
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Tahukah kita bahawa terdapat beberapa peperangan yang telah dimenangi oleh orang Islam berlaku pada bulan Jamadil Akhir? Antaranya ialah perang 'Zat as Salasil (8H) dan perang Yarmuk (13H). Perang 'Zat as Salasil (Dzatussolasil) telah dipimpin oleh Amru bin al 'As untuk memerangi kabilah Bani Qudha'ah yang ingin menyerang Kota Madinah. Seramai 500 tentera islam (termasuk pasukan Abu Ubaidah) telah berjaya mengalahkan kabilah Bani Qudha'ah dengan serangan secara tiba-tiba yang dilancarkan oleh Amru bin al 'As setelah solat Subuh. Walaubagaimanapun, sepanjang perang tersebut, Amru bin al 'As tidak membenarkan nyalaan unggun api walaupun para tentera dalam kesejukkan dan melarang para tentera muslimin mengejar tentera musuh yang melarikan diri. Ini kerana, sekiranya unggun api dinyalakan, pasukan musuh akan menyedari kedatangan tentera muslimin dan pastinya mereka bertindak dengan melakukan serangan. Bahkan, jika pasukan muslimin mengejar tentera musuh akan menyebabkan pasukan tentera terpisah dari kumpulan dan akan nampak secara jelas bilangan mereka yang sedikit berbanding dengan musuh. Seterusnya, ia akan menjejaskan keselamatan pasukan tentera muslimin. Perang Yarmuk telah dipimpin oleh Khalid al Walid (pada mulanya) dan Abu 'Ubaidah 'Amir bin Al-Jarrah untuk memerangi tentera Rom (Byzantine) seramai 240 000 orang di Lembah Yarmuk yang terletak di timur Jordan. Yarmuk adalah salah satu daripada perang terbesar di dunia yang menjadi permulaan kepada pembebasan para Musliminin di luar Jazirah Arab (iaitu Mesir, sebahagian Afrika Utara, dan beberapa wilayah di Laut Tengah). Disebabkan tentera Rom yang sangat ramai, pasukan Muslimin berpura-pura untuk mundur dan meninggalkan kota tersebut. Mereka kemudiannya menyeberangi sungai menuju ke arah kanan dan membuat pangkalan di lembah yang terletak di jalan terbuka pasukan Rom. Tujuan pengunduran ini adalah sebagai strategi menutup satu-satunya jalan yang digunakan oleh tentera Rom untuk mendapatkan peralatan dan pasukannya. Perang Yarmuk telah merekodkan kemenangan 45 000 tentera Islam (termasuk 3 000 yang mati syahid) ke atas tentera Rom. Kemenangan ini telah berjaya membebaskan Syria, Palestin, dan Mesopotamia (daerah yang terletak di antara Sg Tigris & Sg Eufrat) dari penaklukan Rom. -Edited by Beyond Dunia- Untuk menambahkan kefahaman tentang peperangan di atas, boleh lawati laman web berikut: السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Buli ditakrifkan sebagai tingkah laku agresif seorang atau sekumpulan individu yang menggangu mangsa sama ada secara fizikal atau mental bagi suatu jangka masa yang panjang. Tingkah laku ini akan menjadi suatu budaya yang zalim sehingga mangsa mengalami gangguan mental dan fizikal (Hazler dan Hoozer, 1993). Buli merangkumi pelbagai bentuk kekerasan seperti menendang, menumbuk, memukul seseorang dengan tujuan mendapatkan sesuatu. Secara umumnya, terdapat 2 jenis buli yang biasa berlaku iaitu buli fizikal dan buli psikologikal. Buli fizikal melibatkan kekerasan terhadap tubuh badan seseorang sehingga membawa kecederaan manakala buli psikologikal melibatkan cemuhan, sindiran, dan hinaan yang menjatuhkan air muka seseorang (Farayantie, 2006). Laporan Numbeo (2018) meletakkan Malaysia di tangga ketiga di Asia dalam kategori negara tidak selamat akibat peningkatan kes jenayah seperti jenayah buli. Sebanyak 110 berita buli telah dikumpul dan dianalisis daripada akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia dari tahun 2014 hingga 2018. Menurut Astro Awani, sebanyak 3000 kes buli telah direkodkan pada tahun 2015. Sementara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (2017) telah merekodkan 27, 129 kes buli sejak tahun 2008 sehingga Jun 2017. Berdasarkan kajian, didapati 95.8% pelajar sekolah menengah dan 82.7% pelajar sekolah rendah menjadi mangsa buli verbal di negara ini manakala 65.3% pelajar di sekolah menengah menjadi mangsa berbanding 56% pelajar sekolah rendah menjadi mangsa buli fizikal pula (Noran, 2004). Kajian lain mendapati ramai kanak-kanak telah terlibat dalam buli verbal sebanyak 82.7% berbanding fizikal sebanyak 56% (Yaakub et al., 2004). Mahadi (2007) mendapati buli verbal paling dominan berlaku dalam kalangan pelajar di SMKA diikuti buli fizikal. Sementara itu, Azizi et al. (2008) mendapati buli fizikal dan verbal paling kerap berlaku dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan serta Selangor. Manakala Junainor et al. (2016) mendapati buli di sekolah luar bandar khususnya di kawasan FELDA adalah sebanyak 37.3% secara verbal dan fizikal. Kekerapan buli turut diperincikan oleh Latif (2005) dimana sebanyak 22.7% pelajar menjadi mangsa buli sekurang-kurangnya sekali, 2.5% pelajar dibuli sekali dalam tempoh seminggu, 5.6% dibuli sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh sebulan, dan 11.9% dibuli sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh setahun. Pelbagai usaha menangani buli telah dilaksanakan namun keberkesanannya masih belum dapat disahkan. Buktinya, masih banyak buli berlaku yang kebelakangan semakin serius sehingga menyebabkan kecedaraan parah, kecacatan seumur hidup, dan kematian. Antara kes-kes buli sampai mati yang pernah menggemparkan Malaysia ialah Hishamuddin Majid (1988), Muhammad Farid Ibrahim (2004), Mohd Shahrizal Mohd Shaffie (2008), Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri (2010), Jackson Nuing Awe (2017), Zulfarhan Osman Zulkarnain (2017), dan Amirul Nasriq (2018). Menurut Pensyarah Undang-Undang UIAM, ketika ini tiada undang-undang khusus untuk perbuatan buli di Malaysia. Banyak pihak telah menyuarakan perlunya dipinda Akta Pendidikan 1996 ataupun mewujudkan sebuah akta khas, seperti yang dibuat oleh beberapa negara seperti di Amerika Syarikat, untuk mengawal dan mengekang kejadian buli di sekolah. Walaubagaimanapun, hanya buli yang melampau sahaja yang akan berhadapan dengan tindakan mahkamah itupun hanya boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan. Selain itu, mangsa buli hanya boleh membuat tuntuan terhadap pembuli di bawah Undang-Undang Tort atau juga dikenali sebagai Undang-Undang Kecederaan Peribadi. Buli merupakan sesuatu yang amat bertentangan dengan naluri dan fitrah kejadian manusia di sisi Allah SWT. Seorang muslim yang sejati itu bukanlah seorang pencaci, pencela, pengejek, pencemuh dan sebagainya. Seperti sabda Rasulullah SAW: “Bukanlah seorang mukmin itu orang yang suka mencaci, orang yang gemar melaknat, orang yang suka berkata-kata lucah dan orang yang berkata-kata kotor.” (HR At-Tirmidzi) Allah SWT telah menegaskan dalam Al-Quran bahawa perbuatan mencela dan menghina ini amat keji. Allah melarang perbuatan ejek-mengejek. Allah juga melarang tindakan yang membahayakan diri sendiri mahupun mencetuskan kecelakaan kepada orang lain. “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” (QS Al-Hujurat : 11) “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (QS Al-A’raaf : 56) Islam tidak pernah menganjurkan penindasan dan salah satu sifat orang Islam ialah tidak memberi masalah kepada saudara seislam. Rasulullah SAW pernah ditanya tentang amalan Islam yang paling utama. Kemudian Rasulullah SAW menjawab amalan yang membuat kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya. "Wahai Rasulullah, Islam manakah yang paling utama? " Rasulullah menjawab, "Siapa yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya.” (Sahih Bukhari) “Orang Islam ialah orang yang saudara Islamnya terselamat daripada kejahatan lidah dan tangannya.” (HR At-Tirmidzi) Tiada satu agamapun di dunia ini yang mengizinkan kita menyakiti, mencederakan dan membunuh seseorang tanpa sebab yang tertentu. Tindakan membuli menyebabkan rosaknya maruah diri seseorang, merosakkan hubungan silaturrahim, dan kedamaian sesebuah masyarakat. Tambahan pula, ia adalah perbuatan menzalimi manusia yang lain tanpa hak. Larangan dan balasan buat mereka yang memukul orang lain tersangatlah banyak disebutkan di dalam al-Quran dan al-Hadis. “Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim.” (QS Ali-‘Imran : 57) “Dan orang-orang yang berbuat zalim tidak ada seorang penolong pun baginya.” (QS Al-Baqarah: 270) "Barangsiapa yang berbuat zalim kepada saudaranya, baik terhadap kehormatannya maupun sesuatu yang lainnya, maka hendaklah ia meminta kehalalannya darinya hari ini juga sebelum dinar dan dirham tidak lagi ada. Jika ia punya amal salih, maka amalannya itu akan diambil sesuai dengan kadar kezaliman yang dilakukannya. Dan jika ia tidak punya kebaikan, maka keburukan orang yang ia zalimi itu dibebankan kepadanya." (HR Bukhari) “Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya aku mengharamkan kezaliman atas diriKu, maka Aku mengharamkannya di kalangan kamu, maka janganlah kamu zalim menzalimi” (HR Muslim) Mufti Wilayah Persekutuan telah menyatakan bahawa sesuatu perkara itu apabila ia bertentangan dengan agama dan nilai kemanusiaan, maka ia adalah tertolak dan tidak boleh diterima sama sekali. Hendaklah setiap mereka yang terlibat dengan perbuatan buli ini merasa insaf, bahawa setiap tindakan dan amalan kita di atas bumi ini akan dinilai oleh Allah S.W.T. Dari sekecil-kecil perbuatan sehinggalah sebesar-besar perkara kesemuanya itu tidak terlepas dari catatan dan hitungan Malaikat. Sekalipun seseorang tersebut pernah dibuli, maka tidak boleh baginya untuk meneruskan perkara sama untuk dilakukan kepada generasi yang datang selepasnya. Hal ini kerana ia merupakan kezaliman yang nyata dengan melakukan sesuatu perkara buruk kepada yang tidak bersalah. Perlu diingatkan juga bahawa 'pemula' atau pencetus yang membuat kejahatan lalu diwarisi perbuatan itu, dosanya amat besar di sisi Allah dan akan dihisab kelak. Ingatlah, sekiranya baik segala amalan kita di dunia ini maka kita pasti akan mendapat kebaikan di akhirat sana. Sebaliknya, jika amalan buruk sahaja yang kita bawa sepanjang perjalanan di dunia ini, buruk jugalah balasan yang bakal kita terima. “Pada hari ini, tiap-tiap diri dibalas dengan apa yang telah diusahakannya; tidak ada hukuman yang tidak adil pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisab-Nya.” (QS Ghafir: 17). “Pada hari ini kami kunci mati ke atas mulut-mulut mereka, dan Kami jadikan tangan-tangan mereka berbicara, dan kaki-kaki mereka menjadi saksi terhadap apa yang telah mereka kerjakan dahulu.” (QS Yaasin : 65) “Dan diletakkan kitab (buku amalan), maka kau dapat melihat golongan yang melakukan dosa-dosa berasa takut terhadap apa yang terdapat di dalamnya. Dan mereka berkata: “Alangkah celakanya kami ini, kitab apakah ini yang tidak terlepas dosa kecil dan dosa besar melainkan kesemuanya tercatat !”, mereka mendapati apa yang telah mereka kerjakan sebelum ini dan Tuhan kamu tidak pernah menzalimi seseorang pun.” (QS Al-Kahf : 49) “Sesungguhnya orang muflis dari kalangan umatku adalah sesiapa yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa, dan zakat. Dia juga datang dalam keadaan pernah mencela orang ini, menuduh orang ini, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang ini, memukul orang ini. Maka diberikan kepada orang-orang tersebut kebaikan-kebaikan dirinya. Sekiranya kebaikannya sudah habis dalam keadaan perhitungan ke atasnya belum lagi habis, maka diambil kejahatan-kejahatan mereka itu tadi lalu dicampakkan kepadanya dan kemudiannya dia dicampak ke dalam neraka” (HR Muslim) Sebagai orang Islam, kita pasti sudah sedia maklum akan keadilan Allah di hari Akhirat. Oleh itu, janganlah kita berdiam diri apabila melihat orang dibuli, menyokong, ataupun meneruskan tradisi syaitan ini, yang tanpa disedar telahpun dicontohi dari generasi ke generasi. Akhir kata, “orang-orang yang pengasih akan dikasihi oleh sang maha pengasih. Kasihilah mereka yang di bumi, maka akan mengasihimu mereka yang di langit.” “Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri” (HR Bukhari) “Bukan daripada kalangan kami (sunnah kami), orang yang tidak menyayangi orang yang muda (lebih kecil usia) dan orang yang tidak menghormati orang yang dewasa (lebih berusia)” (HR At-Tirmidzi) Untuk kefahaman yang lebih mendalam, boleh rujuk pada senarai rujukan di bawah: 1.https://www.ikim.gov.my/index.php/2005/06/23/buli-bukan-budaya-islam/ 2.https://www.republika.co.id/berita/qah03x320/di-antara-berislam-yang-paling-utama-menurut-rasulullah-saw 3.https://www.coursehero.com/file/p3ptfb8a/Menurut-pandangan-Islam-buli-merupakan-suatu-bentuk-penindasan-dan-agama-Islam/ 4.https://mt961013.livejournal.com/tag/zalim 5.https://muftiwp.gov.my/en/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/1832-bayan-linnas-siri-51-buli-bagaimana-penyelesaiannya 6.https://www.scribd.com/doc/131192279/Buli-Dari-Perspektif-Agama-Islam2013-1tukar 7.https://www.hmetro.com.my/addin/2021/12/788619/kes-buli-tradisi-zalim-amat-dilarang 8.https://harakahdaily.net/index.php/2021/12/17/gejala-buli-perkukuh-ilmu-agama-dan-moral/ 9.https://www.astroawani.com/berita-malaysia/wujudkan-undangundang-khusus-kekang-kejadian-buli-pensyarah-336027 10.Mohamed Nahdirsha, M. A. A., & Balaraman, R. A. (2020). Pelaporan berita buli dalam akhbar broadsheet Utusan Malaysia dan tabloid Berita Harian di Malaysia. In Forum Komunikasi (FK) (Vol. 15, No. 2, pp. 51-70). Universiti Teknologi MARA, Shah Alam: Faculty Communication and Media Studies. 11. Amin Al Haadi Shafie, A. A. A., Norsayyidatina Che Rozudi, W. A. Z. W. K., & Mohamad, M. (2017). Mangsa Buli Dan Kesan Buli. 12. Abdul Manap, R. (2015). Pemahaman guru Pendidikan Islam mengenai perlakuan buli dalam kalangan pelajar sekolah menengah di daerah Kerian Perak (Doctoral dissertation, Universiti Pendidikan Sultan Idris). |
Doa Menuntut Ilmu
|